UMNO Tidak Pernah Abaikan Kepentingan Ummah, Bahkan Perintis Perpaduan – Khaled

KUALA LUMPUR, 10 Mac – Kebelakangan ini terlalu banyak sekali gesaan untuk UMNO memikirkan semula pendiriannya untuk tidak mendukung Perikatan Nasional (PN) pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15), ujar Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin.

Menurutnya, pelbagai alasan digunakan terutama sekali retorik perpaduan ummah bahawa seolah-olah UMNO mengabaikannya.

“UMNO tidak pernah mengabaikan kepentingan ummah barang seketika pun. UMNOlah yang merintis jalan perpaduan Melayu memerdekakan negara. UMNOlah yang menerima kembali Semangat 46 demi perpaduan Melayu. Dan UMNO jugalah yang mengajak PAS untuk bersama menubuhkan Muafakat Nasional.

“Tidak menyertai PN bukan mengenepikan kepentingan Melayu. Ia adalah kerana UMNO ada perhitungan politiknya tersendiri.

“UMNO bukan parti dengan ‘herd mentality’. UMNO adalah parti dengan pendirian bahawa survival UMNO itu lebih utama dari survival PN,” ujarnya dalam satu catatan di Instagram.

Dan nampaknya ramai orang lupa pendirian UMNO ini berakar dari pendirian penyokong akar umbinya, jelasnya lagi.

“UMNO parti orang kebanyakan. Kami bukan parti yang terbentuk dengan percaturan golongan elit yang khianat pada mandat rakyatnya.

“Kerana mendengar hasrat akar umbilah UMNO memutuskan sedemikian bahawa ia akan bertanding sebagai Barisan Nasional.

“Tetapi yang lebih penting diingat ialah, masa depan UMNO ditentukan oleh rakyat, bukan kerjasamanya dengan PN,” katanya.

Tegasnya lagi, rakyatlah yang akan menentukan jika UMNO ini akan mara atau ditumpaskan.

“Rakyatlah yang akan menentukan segala-galanya dan kepada rakyatlah kita mesti memberi segala tumpuan waktu ini. Bukannya rundingan berterusan peringkat atasan yang tidak akan mempengaruhi pemikiran rakyat pun,” ujarnya.

Justeru, Khaled menyeru kepada seluruh penyokong UMNO mesti segera bekerja dengan rakyat untuk rakyat bagi memenangkan UMNO pada PRU akan datang.

“Jangan buang masa dengan polemik politik di peringkat atasan. Kerana masa depan UMNO adalah pada undi mereka yang biasa-biasa,” katanya. – UMNO ONLINE

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.