Ubahsuai Kenderaan: Saman Sudah Memadai, Tidak Perlu Sita Kecuali Tiada Geran – Ahmad Zahid

KUALA LUMPUR, 10 Mac – Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi memuji usaha dilakukan Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang mahu memastikan pemilik kenderaan mematuhi undang-undang, tidak membuat bising hingga mengganggu ketenteraman awam dan membendung pencemaran alam sekitar.

Ujarnya, undang-undang perlu dipatuhi serta dihormati dan bagaimanapun polis antara pasukan penguatkuasa yang mempunyai budi bicara yang cukup tinggi di negara ini.

“Pada hemat saya, jika ada pemilik kenderaan mengubahsuai ekzos memadailah dikenakan saman yang boleh menyedarkan mereka. Tidak perlu disita melainkan kenderaan itu tiada geran pemilikan.

“Jika kenderaan disita, ia pasti menyukarkan pemiliknya. Mungkin ia satu-satunya kenderaan yang ada untuk keluar bekerja,” kata Pengerusi Barisan Nasional itu dalam satu hantaran di Facebook.

Ahmad Zahid berkata demikian mengulas mengenai pemilik motosikal yang mengubah suai kenderaan menggunakan ekzos bising boleh didenda sehingga RM2,000 atau penjara sehingga enam bulan di mana kesalahan itu termaktub di bawah Kaedah 103 Kaedah-kaedah Kenderaan Bermotor (Pembinaan dan Penggunaan) 1959 (LN 170/1959).

Media juga melaporkan di bawah peruntukan Seksyen 64 Akta Pengangkutan Jalan 1987, polis juga diberi kuasa untuk menyita motosikal dengan tujuan mengelakkan kesalahan sama berulang.

Justeru, Ahmad Zahid juga berharap penguatkuasaan ini dapat dikaji sepenuhnya termasuk pihak bengkel yang menjual ekzos.

Lagipun, bengkel motosikal juga mahu beroperasi tatkala ekonomi negara kini dalam keadaan tidak baik, tambahnya. – UMNO ONLINE

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.