Selamat Menyambut Peristiwa Isra’ Dan Mikraj 1442H, Hayati Hikmahnya – Ahmad Zahid

KUALA LUMPUR, 10 Mac – Presiden UMNO Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata dengan Isra’ Mikraj semoga iktibar bermakna dapat dipelajari dari kisah yang menjadi detik permulaan ibadat Solat diwajibkan ke atas umat Islam.

Katanya, ia juga memberi mesej bahawa kasih sayang Allah kepada kekasih-Nya Nabi Muhammad saw terpancar jelas dalam setiap perhentian perjalanan kisah ini.

“Di mana ketika itu baginda diuji dengan kehilangan isteri tercinta Saidatina Khadijah dan bapa saudara Saidina Abu Talib  yang menjadi tonggak semangat Nabi dalam memperjuangkan agama Allah.

“Selain itu ia juga menzahirkan kesetiaan para sahabat yang sentiasa teguh bersama baginda meskipun ditekan dan diasak oleh musuh dengan berbagai cara,” katanya dalam kenyataan menerusi facebooknya malam ini.

Sehubungan itu, beliau yang juga Pengerusi Barisan Nasional (BN) mengajak semua untuk menghayati hikmah peristiwa ini dengan lebih mendalam setiap kali kita menyambutnya kerana ia sejarah yang terukir kemas dalam Al Quran dan pasti akan sentiasa berulang sepanjang jalan manusia menempuh perjuangan kehidupan. – UMNO Online