Zahid Sambut Baik Usaha PUNB Bantu Individu Diberhentikan Kerja, Kerajaan Perlu Beri Geran Bantuan

KUALA LUMPUR, 9 Mac – Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menyambut baik usaha Perbadanan Usahawan Nasional Berhad (PUNB) menawarkan skim pembiayaan baharu berjumlah RM50,000 bagi membantu individu yang diberhentikan kerja memulakan perniagaan.

Katanya yang juga Pengerusi Barisan Nasional (BN), usaha ini wajar disokong oleh semua memandangkan begitu ramai rakyat terkesan akibat pandemik COVID-19.

“Perkara ini juga pernah saya cadangkan sebelum ini supaya kerajaan memberi geran bantuan yang sewajarnya kepada mereka yang terjejas akibat COVID-19.
“Semoga agensi lain turut mencari kaedah bersesuaian bagi membantu rakyat,” katanya dalam kenyataan berkaitan hal terbabit menerusi hantaran dalam laman facebooknya, hari ini.

Jelasnya, bagi individu yang menerima bantuan ini kelak, manfaatkan peluang yang diberi dan buktikan mereka mampu berjaya dalam bidang perniagaan.

“Dalam situasi COVID-19, perniagaan berasaskan makanan, pertanian dan hasil laut mendapat permintaan yang baik. Mungkin itu antara yang bagus untuk diusahakan,” katanya lagi yang juga Ahli Parlimen Bagan Datuk.

Terdahulu Pengerusinya PUNB, Tan Sri Noh Omar memaklumkan akan memperkenalkan skim pembiayaan baharu untuk individu diberhentikan kerja akibat pandemik COVID-19, yang berhasrat memulakan perniagaan dengan peruntukan RM50 juta iaitu pembiayaan minimum RM50,000 kepada mereka untuk memulakan perniagaan. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.