Jangan Dijatuhkan Orang Yang Sedang Menaikkan UMNO – Zainal Abidin

KUALA LUMPUR, 9 Mac – Ahli UMNO harus memberikan peluang kepada Presiden, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi untuk memulihkan parti ke arah kestabilan sekaligus memastikan parti ini kekal relevan dalam menjaga kebajikan rakyat.

Pengerusi Yayasan Basmi Kemiskinan, Datuk Zainal Abidin Sakom berkata kepimpinan Ahmad Zahid harus dihormati kerana beliau satu-satunya presiden yang mengetuai parti ini sejak mengalami kekalahan pada Pilihan Raya Umum ke-14 lalu.

“Sekarang Zahid pemimpin kita, siapa yang hendak memimpin parti kalah ini? Sudahlah tiada kuasa dikerjakan orang pula kemudian trust deficit dilakukan lagi, semua orang bercakap… kawan pun bercakap pasal ini.

“Tiada siapa hendak berkawan dengan dia… sekarang dikatakan kluster mahkamah dan macam-macam lagi. Bunyinya itu macam hendak menjatuhkan dia.

“Siapa punya muka yang hendak menjadi presiden UMNO sebelum ini? Dalam keadaan kalah duit kena ada, pakai duit sendiri sebab duit parti beku, ditekan dengan macam-macam perkara jadi bagilah Presiden ini peluang menstabilkan balik parti,” katanya.

Bagaimanapun Zainal yang juga bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batang Kali berkata sekiranya ada dalam kalangan ahli parti yang tidak bersetuju dengan corak kepimpinan Ahli Parlimen Bagan Datuk itu maka mereka seharusnya gunakan saulran yang betul atau perlu menunggu untuk pemilihan UMNO yang akan datang.

“Lagipun Zahid juga yang kata bila sampai waktu pemilihan silakan bertanding sebab kita ada Perlembagaan.

“Janganlah kita menarik-narik orang… menjatuh-jatuhkan orang sedangkan waktu itu dia sedang melakukan sebaik mungkin untuk parti,” jelasnya.

Beliau berkata demikian menerusi program ‘Solidariti UMNO’, bersama panel Pengerusi Persatuan Sahabat Inovasi Seremban, Mohd Shukri Shamsudin menerusi Facebook UMNO Online, malam tadi.

Tambah Zainal, ahli parti khasnya rakyat beruntung kerana walaupun UMNO tidak berkuasa penuh pada kerajaan yang mentadbir hari ini namun pemimpin parti terutama ahli Parlimen komited dalam membantu rakyat.

Handsard di Parlimen membuktikan kepada kita bahawa betapa ahli-ahli Parlimen daripada UMNO ini menyampaikan harapan rakyat tak putus-putus dan tak serik-serik.

“Itu adalah sikap ataupun budaya pemimpin UMNO yang memang saya belajar. Inilah parti keramat kerana walaupun pernah kalah, masih ada orang macam ini untuk berjuang, kerana dia tahu apa tujuan UMNO itu diwujudkan.

“Walaupun UMNO pernah mengalami kekalahan tapi gerak kerja itu dilakukan sebaik mungkin, ini yang kita nampak.” – UMNO Online

Oleh: Nurul Saadah Latib

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.