Ahli UMNO Faham ‘Kluster Mahkamah’… Dapat Hidu Muslihat ‘Kluster Kuasa’, ‘Kluster Cari Makan’

KUALA LUMPUR, 9 Mac – “Alhamdulillah ahli dan penyokong UMNO faham apa yang dialami oleh ‘Kluster Mahkamah’. Mereka tahu siapapun yang memimpin UMNO masa itu berpotensi ‘di-Kluster Mahkamah-kan’.”

Demikian kata Presiden UMNO yang juga Pengerusi Barisan Nasional (BN) dalam kenyataan melalui hantaran di laman facebooknya.

Hakikatnya kata beliau, tiada sebarang kluster dalam kepimpinan UMNO.

“Apatah lagi, akar umbi UMNO mahu supaya UMNO terus berpadu tanpa sebarang perpecahan, biarpun perbezaan pendapat tetap diraikan.

“Namun, tafsiran terdapat wujudnya pelbagai ‘kluster’ mengikut penganalisis politik tidak dapat dielakkan,” katanya.

Jelasnya, mereka kata ‘Kluster Mahkamah’ sila berundur konon demi selamatkan UMNO.

“Tetapi hairan rata-rata mereka ini penyokong ‘Kluster Kuasa’. Mereka yang anti-UMNO. ‘Kluster Cari Makan’ yang juga dikenali sebagai ‘Kluster Broker’ tambah garam.

“Mujur ahli dan penyokong UMNO dapat hidu tipu muslihat kluster-kluster ini.

“Golongan berkecuali atas pagar pun nampak agenda dua kluster ini. Inikan zaman media sosial.
Lagipun lebih 3 juta ahli dan penyokong UMNO tahu ‘Kluster Mahkamah’ inilah ‘last defend’ UMNO.”

Katanya, mereka tahu sebab itu ‘Kluster Kuasa’ dan ‘Kluster Broker’ bersungguh-sungguh menghasut iaitu berusaha meracuni fikiran mereka supaya menolak pemimpin ‘Kluster Mahkamah’.

“’Kluster Kuasa’, ‘Kluster Broker’ bimbang UMNO sedang bangkit dengan kekuatan sendiri. ‘Kluster Kuasa’ bimbang kuasa dalam genggaman terlepas. ‘Kluster Broker’ takut hilang jawatan dan kedudukan,” katanya lagi yang juga Ahli Parlimen Bagan Datuk.

Dilaporkan, Zahid antara kepimpinan UMNO yang didakwa dimahkamah iaitu dengan 45 pertuduhan pecah amanah, menerima rasuah dan pengubahan wang haram berjumlah RM114 juta di bawah Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram (AMLATFPUAA) 2001.

Selain beliau, dakwaan berbeza dikenakan kepada Setiausaha Agung UMNO Datuk Seri Ahmad Maslan dan Bendahari UMNO, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor selain beberapa kepimpinan UMNO di peringkat bahagian. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.