Wanita UMNO Sedia Galas Cabaran Politik Semasa Negara – Norshida

KUALA LUMPUR, 8 Mac – Wanita UMNO akan terus akur dengan segala keputusan yang diputuskan oleh pucuk pimpinan parti dalam usaha mendepani cabaran politik dan semasa negara demi kelangsungan serta kejayaan parti kelak.

Justeru bagi Ketua Penerangan Wanita UMNO, Datuk Norshida Ibrahim cabaran yang bakal dihadapi parti dan Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) merupakan satu perkara yang perlu diperhalusi dengan sebaiknya dalam usaha memastikan momentum parti hari ini terus mendapat keyakinan dan kepercayaan rakyat untuk masing-masing membuat pilihan dengan tepat.

Menurut beliau senario politik negara yang tidak menentu serta cabaran semasa ekonomi yang dihadapi rakyat yang berdepan dengan pandemik COVID-19 sudah pasti menjadi salah satu cabaran yang bakal dihadapi oleh mana-mana parti politik di negara ini.

“Dalam keadaan itulah UMNO tidak terkecuali dan memikirkan hal sedemikian jentera parti khususnya Wanita UMNO perlu siap siaga dalam apa jua keadaan memastikan parti terus menerus mendapat kepercayaan rakyat pelbagai peringkat untuk mengemudi negara kelak.

“Dengan tempoh masa yang rata-rata sudah boleh menjangkakan bilakah PRU bakal berlangsung, sudah pasti senario tersebut menuntut kepada komitmen serta tumpuan jentera parti pelbagai peringkat termasuklah Wanita UMNO dan BN sendiri dalam menghadapi situasi ini nanti,” katanya kepada UMNO-Online.

Norshida yang juga Ketua Wanita UMNO Segamat seterusnya menambah Wanita pada dasarnya telah mengambil langkah-langkah perlu termasuklah jentera Penerangan yang akan diperkemaskan dan disusun atur mengikut kesesuaian politik semasa tanah air untuk memastikan impaknya benar-benar memberi manfaat kepada usaha parti mendepani PRU akan datang.

Yang pasti dan perkara utama tambah beliau lagi adalah kesatuan sesama sendiri yang perlu diperkemaskan dan diperkuatkan kerana PRU-15 sudah pasti cabarannya bukan satu cabaran yang cukup mudah apatah lagi dalam keadaan parti hari ini menjadi sebahagian daripada kerajaan, tentunya pelbagai tohmahan yang dilontarkan akan terpalit sama.

“Paksi kekuatan parti adalah muafakat, teras utama adalah perpaduan pelbagai peringkat dan untuk mencapai kejayaan pada PRU nanti sudah pasti menuntut kepada perkara-perkara berkenaan selain gerak kerja yang tepat.

“Wanita UMNO sepertimana yang diketahui umum telah pun melaksanakan tugas yang dipertanggungjawabkan malah kita yakin dan percaya di akar umbi masing-masing telah pun menggerakkan usaha mereka dalam menghadapi suasana tersebut.

“Insya Allah dengan keputusan terkini dan pendirian yang telah diambil parti, Wanita UMNO akan terus bergerak dengan sedaya upaya untuk membantu parti agar UMNO dan BN diberi kepercayaan untuk memerintah negara.

“Marilah kita sama-sama jayakan hasrat berkenaan tanpa mewujudkan sekelumit pun perpecahan dan juga pertembungan antara satu sama lain dengan harapan nawaitu ikhlas parti untuk terus menerus membantu rakyat dan mengemudi negara tercapai, Insya-Allah,” ujarnya lagi. – UMNO Online

 

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.