UMNO Pandang Serius Kandungan Buku Teks Sejarah Tingkatan 4 Tidak Tepat – Ahmad Maslan

KUALA LUMPUR, 8 Mac – UMNO memandang serius tentang perkara yang dibangkitkan oleh pakar sejarah negara, Prof Datuk Dr Ramlah Adam berhubung kandungan Buku Sejarah Tingkatan 4 yang sebelum ini menimbulkan rungutan dari kalangan pelbagai pihak.

Setiausaha Agungnya Datuk Seri Ahmad Maslan berkata menerusi pertemuan bersama pakar sejarah berkenaan, banyak perkara dibangkitkan serta diperincikan mengenai kandungan buku terbabit.

“Prof Datuk Dr Ramlah Adam pakar Sejarah negara bertemu saya dan memperincikan banyak perkara yang tidak tepat serta tidak betul mengenai kandungan buku itu. Saya memandang serius tentang perkara yang dibangkitkan dan tentu akan mengambil tindakan yang wajar,” katanya menerusi catatan di ‘Twitter’.

Sebelum ini beberapa pihak membangkitkan perkara tersebut termasuklah laporan polis daripada Pergerakan Pemuda UMNO.

Laporan polis dibuat Exconya, Aizat Azam di Balai Polis Sri Petaling bersama Ketua Pemuda UMNO Bahagian Bandar Tun Razak, Ashrul Ashryzad Mohd Nashri dan Ketua Pemuda UMNO Bahagian Muar, Mohd. Helmy Abd. Latiff.

Aizat berkata, Pemuda UMNO mendapati wujud unsur-unsur manipulasi kandungan buku teks tersebut yang juga telah diteliti pakar sejarah dan ahli akademik, Profesor Datuk Dr. Ramlah Adam.

Selain itu, Pertubuhan Jalinan Sahabat Nusantara (Jasanusa) menggesa kerajaan melakukan siasatan segera melibatkan beberapa fakta yang dipercayai tidak sesuai dimasukkan ke dalam buku teks Sejarah Tingkatan Empat. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.