Mohon KPDNHEP ‘Riki-riki’ Harga… Janganlah Rakyat Terus Dibebani – Zahid

KUALA LUMPUR, 8 Mac – Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi memohon agar Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) meninjau berkaitan harga barangan ekoran dakwaan harga daging lembu dijangka meningkat sehingga RM45 sekilogram menjelang sambutan Hari Raya Aidilfitri.

Katanya, antara alasan kenaikan harga dedak ternakan sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dikuatkuasakan Mac tahun lalu.

“Mohon KPDNHEP ‘riki-riki’ dakwaan ini. Benarkah apa yang dilaporkan? Jika benar wajar ditangani awal sebelum ketibaan Aidilfitri.

“Ketika negara berdepan kemelut ekonomi dan pengangguran yang tinggi, janganlah rakyat terus dibebani.

“Dakwaan ini juga amat merisaukan tatkala umat Islam akan meraikan Ramadan bulan depan,” katanya dalam hantaran melalui laman facebooknya.

Jelasnya, kalau sebelum ini seguni dedak boleh dapat pada harga RM54, sekarang harganya didakwa sudah mencapai RM58 dan ada juga yang memberi alasan orang tengah punca kenaikan harga.

“Malah harga daging didakwa telah pun meningkat di beberapa negeri termasuk Kuala Lumpur, Selangor, Negeri Sembilan dan Pahang.

“Pada 2018, harga daging lembu meningkat antara RM34 hingga RM35 sekilogram berbanding RM32 dan RM33 pada tahun sebelumnya,” katanya yang juga Pengerusi Barisan Nasional (BN) berkaitan hal tersebut. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.