Perjuangan UMNO Konsisten, Tanpa Tunduk Kehendak Pihak Lain – Ahmad Zahid

KUALA LUMPUR, 6 Mac – UMNO terus komited dan konsisten dalam mengukuhkan Barisan Nasional (BN) untuk berhadapan Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15).

Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata hala tuju yang diputuskan ini adalah berdasarkan musyawarah bersama pemimpin parti dalam usaha menjaga pandangan ahli parti khasnya memperjuangkan kepentingan rakyat.

“Hala tuju UMNO mesti demokratik, bermusyawarah. Berdasarkan kepentingan akar umbi parti, negara dan rakyat keseluruhan,” katanya menerusi satu hantaran di Facebooknya.

Tambah Pengerusi BN itu lagi, parti tidak akan tunduk kepada kehendak mana-mana pihak yang mempunyai kepentingan peribadi.

“Mungkin UMNO hanya dianggap ada hala tuju jika ikut kemahuan mereka.

“Tidak bolehlah begitu. Tidak boleh sekadar memenuhi keperluan peribadi tertentu,” tegasnya.

Sementara itu, Ahli Parlimen Bagan Datuk itu turut berkongsi hantaran beliau pada bulan lalu berkenaan hala tuju parti yang menurutnya sering menjadi persoalan.

“Saya faham keresahan ini. Justeru saya beri jaminan bahawa UMNO ada hala tuju yang jelas.

“Hala tuju UMNO paling utama ketika ini adalah memperkasakan BN untuk berhadapan PRU-15.

“Kedua memperkukuhkan kerjasama dengan pihak yang benar-benar jujur dan ikhlas untuk bekerjasama dengan BN,” katanya.

Begitu juga katanya, beliau memahami hala tuju sering dikaitkan dengan strategi.

“Sekali lagi saya beri jaminan UMNO ada strategi. Cumanya ia bukan lagi strategi politik sekiranya semua pihak terutama lawan tahu apa yang UMNO sedang dan akan lakukan.

“Strategi UMNO tidak boleh statik, rigid, kaku dan kejang. Strategi politik tidak boleh skema. Perlu bijaksana.

“Menelusuri senario semasa yang disesuaikan berdasarkan analisis SWOT dan kehendak akar umbi tanpa mengorbankan agenda perjuangan,” tambahnya. – UMNO Online

Oleh: Nurul Saadah Latib

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.