GRS Perlu Kekal Relevan Serta Berprinsip – Ir Abdul Aziz

KUALA LUMPUR, 6 Mac – Pemuda UMNO Sabah menyeru seluruh saf kepimpinan dan ahli parti untuk terus memperkasakan kerajaan negeri di bawah Gabungan Rakyat Sabah (GRS) walau apapun berlaku di peringkat persekutuan.

Ketuanya, Ir Abdul Aziz Julkarnain berkata agenda memperkuatkan GRS ini perlu bagi memastikan gabungan ini relevan sebagai wadah perjuangan bagi rakyat Sabah.

“Memperkukuhkan GRS adalah satu usaha yang berterusan, dalam kenyataan saya sebelum ini jelas bahawa ahli-ahli UMNO Sabah yang berotonomi untuk memperkuatkan kerajaan GRS.

“Walau apapun berlaku di peringkat Nasional. Saya mengimpikan GRS ini sekiranya diperkasakan akan menjadi satu wadah suara untuk rakyat Sabah bagi memperjuangkan hak serta kepentingan mereka masa kini dan akan datang,” katanya.

Tambah Abdul Aziz, perkara yang paling penting untuk pengukuhan gabungan ini adalah keikhlasan dan kejujuran dalam bekerjasama.

“Kedua-dua eleman ini amatlah penting untuk memastikan cita-cita dan impian murni terhadap GRS akan tercapai. Saya setuju bahawa kita perlu maju ke hadapan dan kepentingan rakyat haruslah didahulukan.

“Sebab itu saya telah tekankan sebelum ini, UMNO Sabah tetap berlapang dada untuk mendahulukan kepentingan rakyat kerana kami ada janji yang perlu dipenuhi, iaitu memperbaiki setiap kerosakan yang dilakukan oleh kerajaan Warisan-Pakatan Harapan sebelum ini,” tegasnya.

Bagaimanapun beliau yang juga Ketua Pemuda UMNO Bahagian Kota Kinabalu, mempersoal tindakan GRS yang melantik calon-calon bebas yang menang semasa Pilihan Negeri Sabah dilantik memegang jawatan strategik dan penting dalam kerajaan negeri.

“Di sinilah bermulanya pertikaian tentang keikhlasan dan kejujuran dalam kerjasama politik GRS.

“Kita bakal berhadapan Pilihanraya Umum Ke-15 (PRU-15) tidak lama lagi. Apakah ini akan menjadi satu ‘precedent‘ dalam PRU-15 untuk mengiktiraf setiap calon-calon bebas yang menang menentang calon-calon GRS akan diberikan tempat?

“GRS perlu ada disiplin dalam kerjasama politik ini untuk memastikan kelangsungan gabungan ini,” katanya. – UMNO Online

Oleh: Nurul Saadah Latib

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.