UMNO-PPBM: Gabungan Rakyat Sabah, Ahli-ahli Berautonomi Perlu Hormati Mandat Rakyat

KUALA LUMPUR, 5 Mac – Ketua Pemuda UMNO Sabah, Ir. Abdul Aziz Julkarnain menyeru kepada ahli-ahli UMNO Sabah yang berautonomi agar menghormati mandat rakyat dengan menjaga kerajaan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) walau apapun yang berlaku di peringkat Nasional selagi PPBM tidak mengkhianati.

Katanya, sebagai permulaan, kerajaan GRS perlu fokus untuk tunaikan satu persatu AkuJanji yang telah dibuat semasa pilihan raya negeri yang lalu kerana ia tidak banyak dan hanya 79 buah AkuJanji.

“Buat pemimpin-pemimpin GRS, laksanakanlah tugas untuk membangun negeri dengan baik. Elakkan perpecahan yang merugikan. Masih banyak yang belum tercapai dan rakyat sedang mengharapkan pemulihan ekonomi yang cepat.

“Sedarlah, kemakmuran ekonomi hanya akan tercapai sekiranya komponen parti GRS dapat kekalkan kestabilan politik yang ada dan tahu apa yang perlu dibuat,” katanya dalam kenyataan menerusi facebooknya yang turut meminta agar anggota GRS merujuk AkuJanji terdahulu.

Beliau mengulas berkaitan hal tersebut berikutan timbul persoalan kemana hubungan UMNO Sabah dan PPBM selepas ini rentetan daripada keputusan parti tiada kerjasama dengan PPBM dalam PRU15 dan UMNO berpendapat, kebersamaan dalam Kerajaan Perikatan Nasional boleh diteruskan sehingga pembubaran Parlimen.

“Sejak dari semalam saya telah ditanya oleh rakan-rakan media tentang apakah yang akan terjadi kepada kerajaan GRS terutamanya hubungan antara UMNO Sabah dan PPBM rentetan polemik politik yang tidak berkesudahan di peringkat pusat.”

Dalam hal tersebut, beliau mengajak imbau sebelum ini, apabila PPBM telah beri kata dua buat UMNO tentang pendiriannya berkenaan kedudukan kerjasama politik sebelum sebarang perundingan pengagihan kerusi dapat diteruskan untuk menghadapi PRU15 dan hasilnya, UMNO Pusat telah bermesyuarat di peringkat Majlis Kerja Tertinggi (MKT) serta mencapai kata putus.

“Saya bersetuju dengan keputusan MKT bahawa untuk menjaga kerjasama politik yang terjalin perlulah ada kejujuran dan keikhlasan daripada semua pihak. Saya percaya bahawa MKT telah mengambil-kira situasi dan sentimen yang berlaku di peringkat akar umbi beserta kebimbangan mereka terhadap kesungguhan PPBM untuk melemahkan UMNO secara total.

“Saya juga turut percaya bahawa MKT telah mengambil-kira tahap keikhlasan dan kejujuran PPBM yang mengecewakan di Sabah apabila melantik ADUN-ADUN Bebas yang menentang calon-calon BN dalam PRN Sabah, ke jawatan-jawatan penting dan strategik dalam negeri. Saya ingin bertanya, di manakah bentuk keikhlasan dan kejujuran yang ditunjukkan dalam hal ini?”

Namun katanya, UMNO Sabah ini ‘starring’ dan memilih untuk berlapang dada walaupun dikhianati, kerana kami telah berjanji kepada rakyat untuk selamatkan negeri daripada setiap kerosakan yang dibuat oleh kerajaan Warisan-PH.
“Kami tidak mahu hanya kerana kami sakit hati (dikhianati) maka hasrat untuk perbaiki kerosakan tersebut gagal,” tegasnya.

Lantaran itu beliau menegaskan bahawa anggota parti perlu perkuatkan GRS sepertimana kuat dan padunya GPS di Sarawak menuntut hak-hak mereka menurut Perjanjian Malaysia 1963.

“Akhir kata, dahulukan rakyat dan utamakan pencapaian,” katanya lagi. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.