Terus Ke Depan… UMNO Ambil Kira Pelbagai Sudut – Shahril

KOTA TINGGI, 5 Mac – Ketua Penerangan UMNO, Shahril Hamdan berkata pendirian parti berkaitan kerjasama dengan PPBM pada pilihan raya umum akan datang telah mengambil kira pelbagai aspek yang telah diperhalusi pelbagai sudut.

“Terpulang kepada kita untuk menjayakan atau pun menggagalkan keputusan ini. Kalau kita buat cara betul insya-Allah keputusan ini menjadi keputusan yang berjaya tetapi kalau kita buat pendirian untuk mengagalkan keputusan ini maka keputusannya akan menjadi keputusan yang salah.

“Jadi bagi saya terpulang kepada semua terutama pemimpin pelbagai peringkat dan seluruh ahli. Kalau ini yang kita dah putuskan dan mahu jadikan ianya jadi elok ke arah kemenangan parti dan keuntungan rakyat kita, maka buatlah ke arah itu,” katanya kepada UMNO Online, di sini hari ini.

Terdahulu beliau mengadakan perjumpaan bersama pimpinan setempat pelbagai peringkat.

Beliau yang juga Naib Ketua Pemuda UMNO sekali lagi mengingatkan bahawa seandainya ahli dan pimpinan tidak boleh bersatu hati jangan salahkan mana-mana pihak lain sekiranya keputusan kelak bertukar sebaliknya.

“Kita kena bersatu hati kerana keputusan yang dibuat ini sudah tentu telah mengambil kira segenap sudut. Nak kata perbezaan pandangan… nak mengatakan sama ada pandangan yang lain daripada keputusan saya ingat bukan rahsia dalam mana-mana parti mahupun organisasi dibincangkan, apa-apa perbahasan mana boleh 100 peratus bunyinya sama.

“Tetapi yang membezakan UMNO dengan parti lain sepatutnya adalah disiplin kita kukuh” ujarnya.

Terdahulu, Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan sebelum ini memaklumkan Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO telah sebulat suara bersetuju untuk Presiden UMNO mengutuskan surat kepada Presiden PPBM bagi menyatakan keputusan bahawa tiada kerjasama dengan PPBM dalam PRU-15.

Pada masa yang sama UMNO juga berpendapat, kebersamaan dalam Kerajaan Perikatan Nasional (PN) boleh diteruskan sehingga pembubaran Parlimen. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.