Rakyat Terus Di Depan… Tanggapan UMNO Lebih Berpolitik Dakwaan Tersasar – Shahril

AYER HITAM, 5 Mac – Ketua Penerangan UMNO, Shahril Hamdan hari ini menolak tanggapan kononnya parti itu lebih tertumpu kepada soal politik.

Sebaliknya jelas beliau yang juga Naib Ketua Pemuda UMNO, parti itu telah terkedepan dalam mengutarakan soal-soal melibatkan kepentingan rakyat dengan membangkitkannya untuk tindakan serta perhatian kerajaan.

 

“Soal tanggapan kononnya UMNO parti yang sentiasa berpolitik tidak tepat dan ianya adalah satu tohmahan serta lontaran terhadap UMNO sebab benda itu hanya mahu menyerang integriti UMNO atau mempersoalkan keikhlasan UMNO.

“Bagi saya sesiapa yang melihat segala gerak kerja UMNO yang turun padang termasuklah gesaan dan kenyataan melibatkan dasar kerajaan semuanya menjurus kepada kepentingan rakyat,” katanya kepada UMNO Online, di sini, hari ini.

Terdahulu beliau mengadakan perjumpaan bersama pimpinan setempat.

Shahril seterusnya berkata selain daripada memperjuangkan soal-soal yang melibatkan kepentingan rakyat, tanggungjawab terhadap parti turut sama berjalan.

“Adakah dengan memperjuangkan isu rakyat kita langsung tidak ada kerja dalam parti politik… tidak… kita mesti ada kerja dalam parti sepertimana parti-parti lain tetapi akhirnya banyak yang UMNO buat adalah untuk kepentingan rakyat.

“Banyak yang kita buat selama ini yang mendahulukan rakyat daripada kepentingan parti politik UMNO. Saya dah sebut banyak… kalau UMNO hanya pentingkan politik UMNO, adakah UMNO akan mendokong perdana menteri daripada parti lain sebelum ini… tetapi sebab UMNO meletakkan rakyat di depan, UMNO buat keputusan yang mungkin tidaklah 100 peratus terbaik untuk parti pada saat itu.

“Jadi sebarang tohmahan dan dakwaan yang kononnya UMNO hanya berpolitik dan tidak fikir benda-benda lain sangat-sangat tersasar,” tegasnya lagi. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.