Layanan ‘Double Standard’: Kerajaan Perlu Elak Dari Terus Mengundang Kemarahan Rakyat – Mustafa Shah

KUALA LUMPUR, 5 Mac – Exco Pergerakan Pemuda UMNO, Mustafa Shah Abdul Hamid berkata kerajaan hari ini sewajarnya belajar daripada apa yang berlaku sewaktu pentadbiran Pakatan Harapan (PH) yang hanya dalam tempoh 22 bulan sahaja mentadbir tetapi telah mengundang kemarahan dan kebencian menebal di kalangan rakyat.

Ulasnya, ini adalah kerana kegagalan kerajaan PH sendiri yang tidak memenuhi aspirasi rakyat terutamanya menjamin kebajikan, janji-janji manifesto yang tidak ditunaikan serta kesejahteraan negara.

“Kini… setelah setahun kerajaan baharu mentadbir negara, sekali lagi aspirasi rakyat Malaysia gagal dipenuhi terutamanya berkaitan dengan pengurusan krisis pandemik COVID-19 dan krisis ekonomi.

“Keputusan kerajaan yang kerapkali berubah berkaitan Prosedur Operasi Standard (SOP) tentang pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bukan sahaja mengakibatkan kekeliruan di kalangan rakyat malah ‘frontlines’ juga turut terkesan.”

Beliau yang juga Ketua Pemuda UMNO Bahagian Kuala Kangsar merasa terkilan dengan layanan ‘dwi-standard’ yang membezakan anggota pentadbiran kerajaan PN yang seolah-olah kebal dan terkecuali daripada mengikuti SOP turut mengundang kemarahan rakyat.

Tambah beliau lagi, insiden terkini yang melibatkan Timbalan Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Santhara Kumar turut melonjakkan ‘api kemarahan rakyat’ apabila beliau dibenarkan bercuti selama 55 hari keluar negara semata-mata menziarahi ahli keluarganya.

“Rakyat pula yang hanya ingin merentas daerah bagi menziarahi ibu bapa dikenakan sekatan malah ada juga yang telah didenda.

“Saya memohon kepada kepimpinan kerajaan PN terutamanya Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin untuk memastikan pematuhan SOP ini turut terpakai kepada semua pihak melainkan terdapat kes kecemasan ataupun urusan yang mendesak,” ujarnya.

Tegasnya, pemimpin kerajaan seharusnya menjadi ‘role model’ yang boleh dicontohi rakyat dan bukannya menjadi penyebab kepada kemarahan rakyat. – UMNO Online

 

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.