Setahun Naib Presiden UMNO Dalam Kerajaan, Keselamatan Dan Kedaulatan Jadi Keutamaan


KUALA LUMPUR, 4 Mac – Tahap keselamatan dan kedaulatan negara mesti sentiasa dalam keadaan yang terjamin. Demikianlah tegas Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob yang juga Naib Presiden UMNO ketika membicarakan berkenaan setahun pentadbiran beliau menjadi teraju di Kementerian Pertahanan.

Katanya, pelbagai langkah dilakukan termasuk Ops Benteng bagi mengekang kemasukan pendatang asing tanpa izin (PATI) memasuki negara ini.

“Di sempadan kita berjaya mencegah kemasukan PATI, pengumuman yang saya buat setiap hari kita ada tangkapan pati, tekong rampasan bot dan sebagainya. Kita juga berjaya mengusir mereka keluar.

“Kejayaan besar ialah Ops Benteng, sejak 1 Mei 2020 sehingga 28 Februari tahun ini 12,121 PATI telah pun ditahan dengan 922 tekong, 322 buah bot atau kapal, 1,469 kenderaan darat.

“1,299 pati dihalau, 616 bot dan sembilan orang tekong. Nilai rampasan selama untuk Ops Benteng ini RM307 juta, ini kejayaan kita. Begitu juga dengan jenayah rentas sempadan seperti pemerdagangan manusia serta dadah,” katanya dalam wawancara eksklusif baru-baru ini.

Ujarnya yang juga Ahli Parlimen Bera, bagi mengetatkan lagi sempadan negara kementerian telah berjaya menambah aset-aset baharu sebagai langkah kesiapsiagaan keselamatan negara.

“Banyak aset-aset yang baharu yang kita tambah. Ada kenderaan pengangkut berperisai (Armoured Personnal Carrier), kapal pemintas (Fast Interceptor Craft) untuk laut, enam helikopter MD-530G yang kita telah pun luluskan.

“Jadi dari segi kesiapsiagaan kita, kita pertingkatkan dengan membeli peralatan yang baharu,” katanya.

Ismail Sabri turut memaklumkan bahawa selain isu keselamatan negara beliau turut menfokuskan berkenaan hal-hal kebajikan anggota Angkatan Tentera Malaysia (ATM) termasuk isu perumahan.

“Berkenaan perumahan anggota ATM, ketika ini 35,000 rumah masih diperlukan oleh anggota kita dan kerajaan meluluskan RM500 juta untuk 1,000 unit, maksudnya kalau seribu setahun jadinya 35 tahun baru selesai.

“Jadi sebab itu kita merancang untuk mempercepatkan usaha ini bukan sahaja dari segi apa yang dilakukan sekarang, tapi kita cuba cara lain iaitu kerjasama awam-swasta, Inisiatif Pembiayaan Swasta dan sebagainya.

Beliau juga turut memperkenalkan program Satu Anggota Satu Rumah (SASaR) yang memberi peluang kepada anggota ATM untuk memiliki rumah bernilai RM150,000 sehingga RM250,000.

“Begitu juga dengan SASaR, ramai anggota kita yang pencen yang tak ada rumah yang akhirnya menyewa rumah sepanjang masa dan sekarang ini kita ada 3,500 unit rumah di Sungai Besi.

“Juga telah pun diluluskan Kem-kem Wardieburn dan juga Kem Genting Klang, lebih kurang 7,000 unit rumah, ini juga satu kejayaan kita untuk diberikan kepada anggota,” katanya lagi. – UMNO Online

Oleh: Nurul Saadah Latib

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.