Pelantikan Ketua Kampung Secara Telus, Tak Main Politik – UMNO Johor

KUALA LUMPUR, 4 Mac – Pelantikan ketua kampung di seluruh Johor tidak berasaskan kepentingan politik tetapi mengambil kira kepentingan kesejahteraan rakyat.

Bendahari UMNO Johor, Datuk Md Jais Sarday berkata pelantikan tersebut dilakukan secara telus dan melalui proses permohonan terbuka serta borang yang dikeluarkan oleh kerajaan negeri di semua Pejabat Daerah.

“Kaedah pemilihan ketua kampung pada kali ini menunjukkan ketelusan kerajaan negeri di bawah pimpinan Menteri Besar Johor, Datuk Ir Hasni Mohamed.

“Saya yakin pelantikan ini tidak berasaskan kepentingan politik semata-mata, tetapi mengambil kira pentingnya kesejahteraan orang kampung seluruh Negeri Johor.

“Namun, yang lebih penting, perlantikan ini telah dipersetujui oleh Majlis Mesyuarat Kerajaan (MMK) yang ahli-ahlinya mewakili kedua-dua parti Barisan Nasional (BN) dan Perikatan Nasional (PN),” katanya.

Beliau yang juga Ketua UMNO Bahagian Kluang berkata, individu yang dilantik sebagai ketua kampung ini juga mempunyai pengalaman dalam menguruskan isu-isu setempat masyarakat.

“Saya percaya antara kriteria yang melayakkan seseorang itu untuk ditawarkan sebagai ketua kampung ialah penglibatan mereka dalam aktiviti sosial setempat, tinggal di dalam kawasan kampung tersebut serta yang lebih penting dihormati oleh masyarakat setempat.

“Kriteria ini sememangnya telah sebati di kalangan ahli UMNO akar umbi kerana doktrin parti bukan semata-mata berpolitik untuk jawatan tertentu, tetapi lebih mementingkan tanggungjawab menguruskan komuniti,” katanya.

Beliau turut meminta pihak lain untuk tidak menggeruhkan lagi keadaan dengan memainkan sentimen politik.

“Oleh itu, saya ingin menasihatkan supaya PN Johor tidak mempolitikkan isu perlantikan Ketua Kampong di Johor,” katanya.

Baru-baru ini Setiausaha PN Johor, Datuk Dr Sahruddin Jamal mempersoal pelantikan ketua kampung yang menurutnya seolah-olah dikuasai oleh UMNO dan BN.

Katanya, lantikan itu dibuat sebelah pihak dan tidak mencerminkan semangat kerjasama antara parti. – UMNO Online

Oleh: Nurul Saadah Latib

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.