Parlimen Tak Sidang Sebab ‘100 Ahli Parlimen Tua’… Alasan Tak Masuk Akal – Shahrir Samad

KUALA LUMPUR, 4 Mac – Alasan yang diberikan kerajaan untuk tidak mengadakan persidangan Parlimen adalah tidak masuk akal.

Demikian tegas Ketua UMNO Bahagian Johor Bahru, Tan Sri Shahrir Abdul Samad yang menyindir Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Datuk Seri Takiyuddin Hassan berkenaan kenyataannya semalam bahawa tiada keperluan untuk sidang Parlimen diadakan ketika tempoh darurat.

“Parlimen tak boleh sidang kerana ‘sains dan data’ terutama membahayakan kepada 100 ahli Parlimen yang berisiko tinggi.

“Cuba kerajaan Perikatan Nasional rujuk kepada surat Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Seri Azalina Othman Said apa kaedahnya supaya Parlimen tidak dimandulkan,” katanya menerusi satu hantaran di Facebook.

Sementara itu, Shahrir melalui hantaran lain turut memuatnaik surat yang dihantar Azalina kepada Peguam Negara, Tan Sri Idrus Harun.

Beliau turut berharap rakyat dapat membaca surat yang dikemukakan oleh ahli Parlimen Pengerang itu.

“Saya bawa ke depan surat Azalina kepada Peguam Negara bagaimana Dewan Rakyat boleh mainkan peranan untuk menyemak kuasa Eksekutif. Dalam bahasa Azalina: ‘supaya Parlimen tidak dimandulkan!’

“Sudahlah Peguam Negara tak jawab surat ini. Menteri Undang-Undang pun tak berani nak baca. Saya harap kita semua baca surat yang sungguh ‘power’ ini.

“Supaya kita boleh faham ‘sains dan data’ dan ‘100 ahli Parlimen tua’ yang disebut oleh Takiyuddin hanya membuktikan betapa kurang waras dan tidak bijaksana satu jemaah menteri yang ‘menasihat’ Yang di-Pertuan Agong,” katanya.

Bulan lalu, Azalina bertindak menghantar surat kepada Idris mengenai kekeliruan tindakan kerajaan menggantung persidangan Parlimen.

Tambah Azalina sebagai ahli Parlimen yang telah berkhidmat 17 tahun beliau tidak faham sebab utama Parlimen digantung sedangkan masih ada beberapa jalan penyelesaian yang boleh dilakukan bagi memastikan persidangan dapat diteruskan. – UMNO Online

Oleh: Nurul Saadah Latib

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.