Bersatulah Kita, Jadikan Keputusan Mahkamah Semalam Suntikan Semangat Baharu – Zahid

KUALA LUMPUR, 4 Mac – Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mengajak seluruh ahli parti agar terus bersatu dan menjadikan keputusan Mahkamah Persekutuan semalam sebagai suntikan semangat baharu.

Dilaporkan, semalam keputusan sebulat suara oleh lima hakim dipengerusikan Hakim Besar Malaya, Tan Sri Azahar Mohamed telah menolak permohonan 16 bekas ahli UMNO untuk mendapatkan kebenaran memulakan semakan kehakiman bagi perisytiharan UMNO sebagai tidak sah kerana kononnya melanggar perlembagaan.

Kata Zahid, UMNO bersama Barisan Nasional (BN) bangkit PRU15 demi nasib rakyat dan negara bangsa.

“Jadikan ini satu suntikan semangat baharu kepada seluruh jentera, ahli dan penyokong UMNO. Parti keramat terus bertahan dan Insya-Allah akan kembali mengasak dengan lebih hebat.

“Kita jangan lupa siapa 16 mereka ini. Janganlah ada lagi dalam kalangan kita seperti mereka. Kita mesti peka juga siapa di belakang mereka. Supaya kita tahu yang mana intan yang mana kaca.

“Kepada seluruh ahli UMNO. Bersatulah kita, jangan jadi si kitol seperti dalam sejarah lampau,” katanya dalam kenyataan berkaitan isu tersebut.

Terdahulu beliau menzahirkan kesyukuran kerana usaha yang dibuat untuk mengharamkan UMNO tidak kesampaian.

“Alhamdulillah. Syukur ke hadrat ilahi. Usaha mereka mengharamkan UMNO tidak kesampaian. Mereka gagal apabila menolak permohonan 16 bekas ahli UMNO terbabit.

“Bekas ahli UMNO terbabit gagal dalam tindakan undang-undang mencabar kesahan parti. Gagal untuk mendapatkan perintah mahkamah bagi membubarkan UMNO,” katanya lagi yang juga Pengerusi BN merangkap Ahli Parlimen Bagan Datuk. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.