UMNO Menang Kes Semakan Kehakiman, Mahkamah Tolak Permohonan UMNO Diharamkan


KUALA LUMPUR, 3 Mac – Mahkamah Persekutuan menolak permohonan 16 bekas ahli UMNO untuk mendapatkan kebenaran memulakan semakan kehakiman bagi perisytiharan UMNO sebagai tidak sah kerana kononnya melanggar perlembagaan.

Dalam satu kenyataan kepada UMNO Online, Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan berkata perkara tersebut diputuskan sebulat suara oleh lima hakim, dipengerusikan oleh Hakim Besar Malaya Tan Sri Azahar Mohamed pada jam 11.50 pagi hari ini.

“Presiden UMNO Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menyatakan rasa syukur atas keputusan ini. Alhamdulillah,” ujarnya Ahmad yang juga Setiausaha Agung Barisan Nasional (BN).

Seterusnya, Ahmad turut bersyukur kerana selesai satu bab yang mencabar dalam perjuangan parti ini.

“UMNO sebuah parti yang banyak jasa kepada rakyat dan negara. Moga parti kita ini sentiasa dilindungi,” katanya lagi.

Tambah Ahmad, menurut mahkamah, 16 orang yang membawa kes itu bukan lagi ahli UMNO mengikut Perlembagaan UMNO Fasal 20.7.

Begitu juga Seksyen 18C Akta Pertubuhan tidak bertentangan dgn artikel 121 Perlembagaan Persekutuan. Bahawa apa jua keputusan parti politik tidak boleh dicabar di mahkamah.

Dalam penghakiman juga, mahkamah berkata isu semakan kehakiman juga telah menjadi akademik kerana UMNO telah melaksanakan proses pemilihan pada Jun 2018 dan jelas bahawa adalah menjadi satu polisi awam, bahawa mahkamah tidak akan mencampuri urusan parti politik.

Peguam yang mewakili UMNO ialah Datuk Hafarizam Harun manakala mewakili 16 bekas ahli UMNO ialah Hanif Khatri dan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (RoS) diwakili Shamsul Bolhasnan.

Memetik laporan, 16 anggota bekas parti itu meminta RoS untuk membatalkan keputusannya pada bulan Mac 2018 yang membenarkan UMNO menangguhkan pemilihan partinya sehingga April 2019 untuk menyiasat aduan yang dibuat dan membalasnya.

Mereka turut memohon perisytiharan bahawa UMNO merupakan parti yang tidak sah berkuat kuasa 20 April, tahun lepas. – UMNO ONLINE