UMNO/BN Jangan Kecundang Muslihat Lawan… Negara Perlu Diperkasa, Perteguh Kemakmuran Rakyat – Zahid

KUALA LUMPUR, 3 Mac – Pengerusi Barisan Nasional (BN) merangkap Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menyeru seluruh penyokong dan ahli UMNO/BN agar jangan kecundang lagi dengan muslihat lawan dan cukuplah apa yang sudah dilalui sejak 9 Mei 2018.

Katanya, sejarah mendewasakan dan pengalaman sepatutnya mematangkan kerana kekalahan pada PRU14 telah banyak mengajar dan menginsafkan.

“Kita kembali bertaut. Negara perlu diperkasakan semula sebelum terlewat. Kemakmuran hidup rakyat perlu diperteguhkan sebelum bertambah parah,” katanya yang menyampaikan pesanan kepada seluruh ahli UMNO dan BN melalui kenyataan dalam laman facebooknya, hari ini.

Jelasnya, selepas lebih tiga tahun berlalu, kini kita mempelajari apakah maknanya apabila UMNO/BN tidak lagi mengemudi pentadbiran negara.

“Bukan kita tidak pernah cuba bertahan, tetapi apakan daya mereka mengharapkan guruh di langit, air tempayan dicurahkan.

“Kebajikan rakyat, keadaan ekonomi, kedaulatan undang-undang, hubungan kaum, keluhuran Perlembagaan, amalan demokrasi tidak perlu diungkap satu persatu. Akan tetapi saya percaya sebahagian rakyat yang pernah menolak kita pada PRU14 juga telah menyedari natijahnya walau masih ada segan dan silu.”

“Kini peranan kita adalah berlapang dada. Sedangkan lidah lagi tergigit. Hulurkan tangan kepada mereka. Kembali berpadu atas nama kebenaran.”

Namun katanya, jangan disama ertikan rakyat dengan ‘katak si katak lompat’ dan jangan disamakan mangsa dengan pemangsa.

“Saudara saudari ahli serta penyokong UMNO dan BN sekalian, kita perlu mengakui segelintir kita turut terperangkap dengan helah dan tipu daya politik PRU14. Terperangkap dengan psikologi lawan mempermainkan sentimen dan emosi ahli serta penyokong UMNO/BN untuk menumbangkan parti sendiri.

“Saya masih ingat cerita tentang ceramah lawan politik di kawasan-kawasan yang dianggap kubu kuat UMNO/BN ketika itu. Mula-mula mereka memburuk-burukkan para pemimpin UMNO/BN dengan pelbagai tuduhan dan dakyah.

“Kemudian penceramah mula ‘bersajak’ memukau pendengar kononnya mereka bukan mahu menghancurkan UMNO, sebaliknya mahu menyelamatkan UMNO/BN.
Berpidato kononnya jika mereka menang, parti UMNO/BN akan diselamatkan oleh pemimpin kerajaan baharu.”

Ujarnya, beliau dimaklumkan, ucapan-ucapan yang penuh dengan kepuraaan dan hipokrit itu mendapat tepukan gemuruh para hadirin.

“Hakikatnya selepas tewas, UMNO/BN malah dihina, dikeji dan cuba dihapuskan secara total oleh mereka. Mujur sebahagian pemimpin UMNO/BN yang telah diilustrasikan dengan begitu jahat tidak tahu erti mengalah. Tetapi kita maklum karma kemenangan pilihan raya dengan tipu daya, pembohongan dan fitnah tiada maruah apatah keberkatan.

“Kini mereka cuba lakukan apa sahaja untuk mengaburi mata rakyat hatta ‘membeli belah’ sana sini demi mempertahankan kuasa.”

Namun katanya, rakyat kian celik dan pada akhirnya mereka terpaksa kembali bertemu jua dengan kita dalam penentuan PRU15.

“Apabila tiba saat itu, saya seru seluruh penyokong dan ahli UMNO/BN jangan kecundang lagi dengan muslihat lawan,” ujarnya lagi yang juga Ahli Parlimen Bagan Datuk. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.