Presiden Bersyukur Keputusan Mahkamah Tolak Bekas Ahli Mahu Bubarkan UMNO

KUALA LUMPUR 3 Mac – Presiden UMNO Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi hari ini menyatakan rasa syukur berhubung keputusan Mahkamah Persekutuan terhadap semakan kehakiman oleh 16 bekas ahli parti berkenaan.

“Syukur kepada Allah saya panjatkan. Mewakili seluruh kepimpinan dan ahli di seluruh negara kepada Allah jua kita berserah,” katanya dalam satu hantaran di Facebook.

Hari ini, Mahkamah Persekutuan yang dipengerusikan oleh Hakim Besar Malaya Tan Sri Azahar Mohamed telah menolak permohonan 16 bekas ahli UMNO yang didakwa bertentangan dengan Perlembagaan UMNO.

Menurut salah seorang peguam yang mewakili UMNO dalam mengendalikan kes ini, Datuk Abu Bakar Isa Ramat, keputusan Mahkamah Rayuan telah dikekalkan dan mahkamah telah menyatakan bahawa proses pemilihan yang dibuat pada tahun 2018 adalah sah dan terpakai.

Pagi tadi sebaik sahaja keputusan itu dibuat melalui persidangan maya selepas hujah-hujah dibahaskan oleh kedua-dua belah pihak, Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan yang mengikutinya dalam satu kenyataan berkata keputusan tersebut adalah keputusan sebulat suara dari lima Hakim, yang dipengerusikan oleh Hakim Besar Malaya Tan Sri Azahar Mohamed.

Tambah Ahmad, menurut mahkamah, 16 orang yang membawa kes itu bukan lagi ahli UMNO mengikut Perlembagaan UMNO Fasal 20.7.

Begitu juga Seksyen 18C Akta Pertubuhan tidak bertentangan dgn artikel 121 Perlembagaan Persekutuan. Bahawa apa jua keputusan parti politik tidak boleh dicabar di mahkamah.

Dalam penghakiman juga, mahkamah berkata isu semakan kehakiman juga telah menjadi akademik kerana UMNO telah melaksanakan proses pemilihan pada Jun 2018 dan jelas bahawa adalah menjadi satu polisi awam, bahawa mahkamah tidak akan mencampuri urusan parti politik.

Peguam yang mewakili UMNO ialah Datuk Hafarizam Harun manakala mewakili 16 bekas ahli UMNO ialah Hanif Khatri dan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (RoS) diwakili Shamsul Bolhasnan. – UMNO ONLINE

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.