Cubaan Haramkan UMNO Gagal: 16 Bekas Ahli Mohon Perintah Bubar UMNO Ditolak – Peguam

KUALA LUMPUR, 3 Mac – Mahkamah Persekutuan yang dipengerusikan oleh Hakim Besar Malaya Tan Sri Azahar Mohamed telah menolak permohonan 16 bekas ahli UMNO yang didakwa bertentangan dengan Perlembagaan UMNO.

Menurut peguam yang mewakili UMNO dalam mengendalikan kes ini, Datuk Abu Bakar Isa Ramat, keputusan Mahkamah Rayuan telah dikekalkan dan mahkamah telah menyatakan bahawa proses pemilihan yang dibuat pada tahun 2018 adalah sah dan terpakai.

“Mahkamah menyatakan bahawa 16 orang ahli UMNO yang memfailkan permohonan ke Mahkamah Persekutuan telah ditolak dan permohonan mereka adalah sia-sia kerana mereka bukanlah ahli UMNO semasa permohonan ini difailkan.

“Mahkamah telah menolak rayuan mereka kerana proses pemilihan UMNO telah buat dengan jayanya pada tahun 2018 dan 16 orang bekas ahli UMNO juga ketika memfailkan semakan di Mahkamah Tinggi tidak pernah menulis apa-apa surat kepada UMNO untuk memohon UMNO menyemak status pemilihan 2018 tetapi mereka terus pergi ke mahkamah untuk memfailkan semakan kehakiman.

“Proses semakan kehakiman yang difailkan oleh 16 orang bekas ahli UMNO telah ditolak dan mahkamah juga telah memutuskan keabsahan Seksyen 18 C Akta Pertubuhan. Di bawah Fasal 20.7 Perlembagaan UMNO, jika mana-mana orang yang membawa perkara parti ke mahkamah tanpa merujuk kepada parti maka keahlian mereka secara ‘automatik’ telah gugur,” katanya kepada UMNO Online hari ini di sini.

Tambah Abu Bakar lagi, mahkamah menyatakan bahawa sebagai ahli UMNO mereka perlu merujuk perkara ini ke parti tetapi mereka gagal untuk merujuk perkara ini kepada Ibu Pejabat parti.

Peguam yang mewakili UMNO ialah Datuk Hafarizam Harun, Datuk Abu Bakar Isa Ramat dan Amin Othman manakala peguam yang mewakili 16 bekas ahli UMNO ialah Hanif Khatri dan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (RoS) diwakili Shamsul Bolhasnan.

Terdahulu, pada 20 April 2018, 16 ahli individu memfailkan semakan kehakiman bagi memohon UMNO dibubarkan atas dakwaan gagal mengadakan pemilihan sejak 2013. Kumpulan itu mendakwa kelulusan RoS untuk UMNO menangguhkan pemilihannya ke tahun depan melanggar perlembagaan parti itu. – UMNO Online

Oleh: Amin Adnan

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.