Buku Teks Sejarah Tingkatan 4: Satu Cerita Yang Salah Menjadi Betul – Dr Najmil

KUALA LUMPUR, 3 Mac – Exco Pergerakan Pemuda UMNO, Datuk Dr Najmil Faiz Mohamed Aris mendesak pihak berkuasa dan pihak bertanggungjawab untuk menyegerakan siasatan ke atas laporan-laporan polis yang di buat daripada badan gabungan NGO dan Pemuda UMNO Malaysia di seluruh negara yang menolak buku teks sejarah tingkatan 4.

Katanya, kandungan buku teks sejarah tingkatan 4 perlu ditarik balik segera serta di haramkan menjadi buku teks para pelajar serta siasatan disegerakan secara terperinci.

“Adakah kita generasi kini mahu membiarkan ada pihak lain yang cuba untuk menjejaskan pemikiran anak-anak muda kita dengan memomok tentang satu cerita yang salah menjadi betul, melupakan sejarah perjuangan kemerdekaan sebenarnya, meleserkan sifat patriotisme dalam dada-dada anak muda, mengagungkan pengkhianat negara seperti komunis dan membiarkan pengisian sejarah tercemar dari misi sebenar negara.

“Kini, apabila berlaku perubahan fakta sejarah negara, ramai orang hanya duduk diam dari bersuara. Oleh itu saya menyeru rakyat Malaysia untuk bersifat patriotik dan berdiri teguh dalam mempertahankan sejarah dan fakta yang sebenar.”

Tambah Dr Najmil lagi, sebagai warganegara Malaysia, beliau amat berbangga dapat belajar dan mengenali negara tercinta ini dari peringkat sekolah lagi.

“Memahami sejarah dan menghargai pengorbanan pejuang negara, pemimpin terdahulu yang memperjuangkan negara untuk mendapat kemerdekaan.

“Sejauh mana keberkesanan tindakan yang bakal di ambil apabila sejarah negara diubah cerita di dalam buku teks sejarah tingkatan 4?” soalnya.

Terdahulu, kenyataan Ketua Pemuda UMNO Malaysia, Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki adalah mendesak supaya buku teks sejarah tingkatan 4 di tarik balik dan diperbetulkan faktanya kerana penting untuk difahami oleh masyarakat. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.