Sudah Tiba Masanya Akta Anti Lompat Parti Diwujudkan, Boleh Jejas Kestabilan

KUALA LUMPUR, 2 Mac – Cerita-cerita lompat parti nampaknya kembali menghangatkan suhu politik tanah air dengan masing-masing menyatakan pendirian serta alasan tersendiri berhubung perkara tersebut.

Bagi Exco Pemuda UMNO, Datuk Najmil Aris Mohamed Faiz, apa pun keadaan dan situasi tersebut sebenarnya boleh menjejaskan kestabilan politik negara khususnya pelanggaran soal demokrasi.

Jelasnya sudah sampai masanya untuk negara menggubal satu akta berhubung perkara berkenaan supaya budaya tersebut tidak terus berlaku dan hanya menjejaskan moral dalam berpolitik.

“Tiada guna kita melaungkan demokrasi jika budaya lompat parti terus berlaku di Malaysia. Rakyat akan rugi kerana tidak mempunyai pemimpin yang berkualiti dan berprinsip,” katanya kepada UMNO-Online, di sini, hari ini.

Tambah Najmil, apa yang penting sebenarnya adalah melaksanakan amanah yang dipertanggungjawabkan dan tindakan lompat parti adalah pelanggaran nilai demokrasi dan menjejaskan moral dalam berpolitik.

“Tiada guna juga melakukan pilihan raya umum (PRU) jika Ahli Parlimen dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) terus melompat parti untuk mengukuhkan kedudukannya. Lebih baik bertanding sebagai calon bebas.

“Insya-Allah saya akan kekal setia bersama UMNO untuk melaksanakan amanah yang diperpertanggungjawabkan walaupun saya bukanlah pemimpin tinggi dalam negara. Yang penting adalah keikhlasan untuk membantu rakyat dan berkualiti dalam kerja,” ujarnya lagi. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.