RMK-12 Antara Sebab Besar Parlimen Perlu Segera Bersidang – Ahmad Maslan

KUALA LUMPUR, 2 Mac – Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan berkata Rancangan Malaysia Kedua Belas (RMK-12) merupakan antara satu sebab besar mengapa Parlimen perlu segera bersidang.

“Biasanya rancangan lima tahun itu dibentang di Parlimen agar Ahli Dewan Rakyat dan Dewan Negara dapat beri pandangan dan dijawab semua kementerian,” ciapnya di Twitter.

Katanya, RMK-11 telah berakhir pada pada tahun lepas (2016-2020) dan akan diikuti RMK-12 bermula pada tahun ini (2021-2025).

Untuk rekod, RMK merupakan rancangan pembangunan lima tahun kerajaan untuk negara di mana RMK Pertama pada tahun 1966 hingga 1970.


Seterusnya dalam twitnya yang terbaharu, ketika sesi taklimat mengenai Darurat Ahli-ahli Parlimen bersama Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin di Putrajaya pagi tadi, Ahmad yang juga Ahli Parlimen Pontian turut melontarkan persoalan kepada Muhyiddin bilakah RMK-12 akan dibentangkan di Parlimen.

Sebagai rekod juga, pada 24 Feb lalu Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menzahirkan pandangan bahawa Parlimen boleh bersidang semasa tempoh darurat berkuat kuasa pada suatu tarikh yang difikirkan sesuai oleh Seri Paduka atas nasihat Perdana Menteri.

Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara Datuk Ahmad Fadil Shamsuddin berkata perkara itu termaktub dalam subperenggan 14(1)(b) Ordinan Darurat (Kuasa-Kuasa Perlu) 2021 yang menyatakan Parlimen hendaklah dipanggil, diprorog dan dibubarkan pada suatu tarikh sebagaimana difikirkan sesuai oleh Seri Paduka atas nasihat Perdana Menteri.

Sehubungan itu, beliau berkata tanggapan sesetengah pihak bahawa pelaksanaan proklamasi darurat menghalang Parlimen untuk bersidang adalah tidak tepat. – UMNO ONLINE