Di Manakah RMK-12… Akhirnya Rakyat Jadi Mangsa – Zahida

KUALA LUMPUR, 2 Mac – Ketua Puteri UMNO, Datuk Zahida Zarik Khan mempersoalkan ke mana perginya pelan hala tuju negara dalam Rancangan Malaysia ke-12 (RMK-12).

Ulasnya, pada tahun 2020 menandakan berakhirnya tempoh Wawasan 2020 dan Rancangan Malaysia Kesebelas (RMK-11), 2016-2020.

“Sebagai kesinambungan, pelan pembangunan pasca 2020 akan digubal dengan menetapkan hala tuju strategik yang jelas bagi menentukan hala tuju pembangunan negara dalam tempoh satu dekad dan menyediakan rangka kerja asas pelaksanaannya.

“Ini bagi memastikan pembangunan sosioekonomi yang inklusif dan bermakna ke arah masyarakat yang lebih makmur.

“Tapi di manakah RMK-12?” soalnya dalam satu hantaran di Facebook, hari ini.

Tambah Zahida lagi, ia sepatutnya dibentangkan dan dibahaskan sebelum pengakhiran RMK-11, iaitu sebelum tahun 2020.

“Antara kita mungkin ada yang telah mati, tetapi negara tetap akan diwarisi, tapi di mana hala tuju kita?

“Kita mempunyai lebih 1.5 juta kakitangan awam dan ramai bijak pandai yang dipertangungjawabkan untuk memikir dan menyediakan RMK-12 ini. Tapi di manakah RMK ini?

“Adakah akhirnya rakyat yang akan jadi mangsa akibat ketiadaan pelan hala tuju negara?,” ujarnya – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.