Mengenang Sejarah, Lengkapkan Diri Bagi Kemajuan Bangsa

Hari ini 1 Mac 2021, Isnin genaplah usia yang ke-99 Tahun Allahyarham Tun Abdul Razak bin Dato Hussein, Perdana Menteri Malaysia (Ke-2) dan Bapa Pembangunan Malaysia. Allahyarham Tun Abdul Razak dilahirkan pada 1 Mac 1922 di Pulau Keladi, Pekan Pahang.

Sebagai Timbalan Perdana Menteri pada zaman awal Negara mencapai Kemerdekaan dan kemudian sebagai Perdana Menteri, Allahyarham Tun Abdul Razak adalah Arkitek Pembangunan Negara dan pembela kepada Pembangunan Ekonomi Melayu khususnya Pembangunan Melayu Luar Bandar.

Dasar Pelajaran Negara setelah Negara mencapai Kemerdekaan yang mendaulatkan Bahasa Melayu sebagai Bahasa Kebangsaan serta menetapkan satu aliran sekolah iaitu Sekolah Kebangsaan juga adalah visi Allahyarham Tun Abdul Razak dengan menamakan Dasar Pelajaran Negara dengan Laporan Pelajaran Razak.

Begitu juga dasar Kebudayaan Negara yang berteraskan kebudayaan Melayu adalah juga cetusan cadangan Allahyarham Tun Abdul Razak.

Sebagai Timbalan Perdana Menteri kepada Almarhum Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj, Perdana Menteri Malaya/Malaysia, Pertama, Allahyarham Tun Abdul Razak cukup setia dan taat bukan sahaja sebagai Timbalan Perdana Menteri bahkan lebih dari itu iaitu sebagai bapak dan guru terhadap Allmarhum Tunku.

Sejarah Negara ini, tidak ada Perdana Menteri dan Timbalan Perdana Menteri serapat dan sefahaman di antara kedua- dua seperti Allahyarham Tun dan Almarhum Tunku. Selain daripada itu, ianya berlaku di zaman Allahyarham Tun sebagai Perdana Menteri dan Tun Dr Ismail sebagai Timbalan Perdana Menteri serta juga semasa Allahyarham Tun Razak, Perdana Menteri dan Tun Hussein Onn, Timbalan Perdana Menteri dalam tempoh yang singkat.

Almarhum Tunku pernah mengistiharkan bahawa Almarhum Tunku adalah “Perdana Menteri yang paling gembira dalam dunia” (I am the most happiest Prime Minister in the world).

Kenyataan ini ialah kerana Almarhum Tunku mendapat seorang Timbalan yang cukup taat dan setia seperti Allahyarham Tun Abdul Razak.

Dalam sebuah Puisi bertajuk Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj, Bapa Kemerdekaan nukilan saya sempena Ulang Tahun Kemerdekaan Negara yang Ke-63 pada tahun 2020, saya telah 2 nukilkan khas 3 rangkap Puisi tersebut bagaimana kehebatan Pimpinan Almarhum Tunku yang telah dibantu dengan penuh taat dan setia oleh Allahyarham Tun Abdul Razak seperti berikut:

TUNKU BAPAK KEMERDEKAAN

Kehebatan Kepimpinan Mu,
Dibantu dengan penuh taat dan setia,
Oleh Pembantu Perkasa.

Abdul Razak Hussein,
Wira yang gigih bekerja,
Yang kurang berbicara,
Fikiranya pelita hati,
Tenangnya hulu bicara,
Keningnya seribu akal geliga.
Berdada lapang, panjang fikiranya,
Jernih muka, fasih lidahnya,
Bertutur dan bercakap pada
Yang beradab dan yang bermakna,
Sangat bijak dalam meneka dan bertindak,
Sentiasa cermat awasi dalam memerhati dan lihat,
Tuahnya memiliki Pembantu yang amanah jujur dan hormat.

Sempena Ulang Tahun Yang Ke-99 Allahyarham Tun Abdul Razak marilah kita Rakyat Malaysia dan Bangsa Melayu khususnya generasi muda Melayu amat wajar mengenang jasa dan pengorbanan Allahyarham Tun Abdul Razak sebagai Arkitek Pembangunan Negara dan Kemajuan dalam Pendidikan dan Ekonomi Bangsa Melayu dan seterusnya berazam untuk menjadikan Legasi Allahyarham Tun Abdul Razak sebagai usaha melengkapkan diri bagi kemajuan Bangsa kita di Negara yang tercinta ini.


Tan Sri Dato’ Seri (Dr) Haji Mohd Yussof Latiff
Presiden, Persatuan Melayu Pulau Pinang (PEMENANG)
Tokoh Melayu Terbilang 2017
01 March 2021 / 17 Rejab 1442

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.