Manfaatkan Media Sosial Tawan Rakyat… Ini Kali Kita ‘All Out’ -Zahid

KUALA LUMPUR, 1 Mac – Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menyeru ahli serta penyokong parti untuk memanfaatkan penggunaan media sosial dalam menyalurkan maklumat yang benar menyenai parti.

Katanya, penggunaan teknologi ketika ini amat penting kerana ianya merupakan kaedah yang lebih cepat untuk menyebarkan info terutama sekali dalam menghakis berita yang tidak benar.

“Kita perlu memanfaatkan media sosial sebagai platform menyalurkan maklumat yang tepat tentang UMNO serta Barisan Nasional (BN). Memperkasakan parti keramat ini dengan fakta dan kebenaran, mencantas kebatilan dan tipu daya pada kos paling minima.

“UMNO/BN mungkin tiada peruntukan khusus sehingga lebih RM40 juta untuk tujuan itu, tapi saya yakin dengan keikhlasan dan semangat perjuangan seluruh jentera, ahli dan penyokong UMNO/BN kita mampu. Ini kali kita ‘all out’,” katanya menerusi satu hantaran di Facebook.

Beliau yang juga Pengerusi BN mengakui bahawa punca gabungan itu mengalami kekalahan pada Pilihan Raya Umum ke-14 lalu adalah disebabkan pengaruh media sosial.

Katanya, media sosial telah digunakan sebaik mungkin oleh Pakatan Harapan sebagai senjata memfitnah dan memberikan impak negatif kepada UMNO/BN.

“Serangan ke atas UMNO/BN secara atas talian telah pun bermula seawal ledakan internet di Malaysia.

“Bermula dengan e-mel berantai dan kemudian kewujudan SMS menjadi saluran utama menyerang BN saban hari,” katanya.

Bagaimanapun beliau yakin rakyat Malaysia hari ini semakin bijak dalam menilai pelbagai dakyah yang disalurkan kepada mereka di media sosial.

“Mereka sudah boleh tahu dan mula berkira-kira antara fakta dan dusta, pembohongan dan kebenaran,” ujarnya. – UMNO Online

Oleh: Nurul Saadah Latib

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.