700 Pekerja SSM Dibantu: Terima Kasih Kerajaan Negeri Perak, Peduli Nasib Rakyat

KUALA LUMPUR, 1 Mac – Terima kasih Kerajaan Negeri Perak membantu 700 pekerja kilang pengeluaran tayar Silverstone Malaysia Bhd (SSM) di Taiping, ujar Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Ujarnya, seperti mana yang pernah disuarakan pada 18 Februari lalu di posting Facebooknya, ramai tertanya-tanya mengenai nasib pekerja kilang itu yang bakal kehilangan kerja berikutan pengumuman syarikat akan menamatkan operasi pada 30 Jun 2021.

“Alhamdulillah Pengerusi Jawatankuasa Industri, Pelaburan dan Pembangunan Koridor Perak, Datuk Shahrul Zaman Yahya di bawah pimpinan Menteri Besar, Datuk Saarani Mohamad telah mengambil langkah sewajarnya.

“Ternyata kerajaan yang peduli nasib rakyat tidak akan biarkan rakyat tertindas mahupun diabaikan begitu sahaja,” ujar Ahli Parlimen Bagan Datuk itu di platform media sosial yang sama.

Tambah Ahmad Zahid lagi, setakat ini beliau difahamkan 200 pekerja telah diserapkan ke kilang Toyo Tire Malaysia Sdn Bhd (TTM).

“Ia usaha bersama agensi kerajaan antaranya Pusat Aspirasi Anak Perak (Pasak) dan Pihak Berkuasa Pelaksanaan Koridor Utara (NCIA).

“Bagi baki pekerja lain, saya berharap mereka dibantu mendapat pekerjaan selain diberi pampasan yang sewajarnya oleh syarikat,” gesanya.

Selanjutnya, Pengerusi Barisan Nasional (BN) itu juga berharap tiada berlaku pembaziran kemahiran tenaga buruh sedia ada kerana ia amat penting untuk pembangunan negara. – UMNO ONLINE

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.