Gerak Kerja Parti Diteruskan Sambil Bantu Rakyat – Norshida

KUALA LUMPUR, 28 Feb – Selain daripada menjadi mata dan telinga masyarakat di Segamat, Wanita UMNO bahagian berkenaan tidak lupa untuk terus memperkasakan parti khususnya jentera setempat.

Ketua Wanitanya Datuk Norshida Ibrahim berkata selain daripada tumpuan bersama masyarakat saban minggu, tanggungjawab terhadap parti tetap berjalan seperti biasa.

Hari ini menurut beliau Wanita Segamat mengambil peluang dengan memperkemaskan segala portfolio khususnya berkaitan untuk gerak kerja sekaligus diharaplan memperoleh impak daripada pengundi.

“Alhamdulilah, selesai sesi perjumpaan serta perbincangan dengan Pengerusi Portfolio Jentera serta AJK Wanita Bahagian.

“Semoga susun atur dan strategi yang wanita rancangkan beroleh impak positif dari pengundi Segamat. Insya Allah,.

“Terima kasih juga buat Saudari Halija, Ketua Puteri Segamat dan barisan AJKnya yang turut sama hadir berbincang, berkongsi idea dan pendapat untuk memenangi hati anak muda. Kita Satu Keluarga, Satu Hati, Demi Parlimen Segamat,”katanya menerusi catatan di Facebook.

Norshida yang juga Ketua Penerangan Wanita UMNO Malaysia seterusnya menambah usaha dan gerak kerja di peringkat bahagian adalah satu kerja rutin saban minggu yang akan dilaksanakan bersama kumpulan sasar yang lain.

Pada masa yang sama beliau turut percaya dan yakin Wanita UMNO seluruh negara turut mengambil pendekatan yang sama dengan masing-masing memperkemaskan gerak kerja mereka.

“Apa pun tugas dan tanggungjawab kita sebagai penggerak parti di akar umbi perlu dilaksanakan dan ianya sudah pasti mengikut suasana dan normal baharu dalam keadaan negara berdepan pandemik COVID-19.

“Disamping terus menerus membantu rakyat khususnya kalangan mereka yang terkesan dan sebagainya, Wanita UMNO tetap laksanakan portfolio yang telah sekian lama dipertanggungjawabkan..Insya Allah,” tambahnya. – UMNO Online