Dokongan Ahli Perkukuh UMNO, Terus Berperanan Bela Rakyat Selepas Terlena Dengan Janji PH – Mohd Hairi

KUALA LUMPUR, 28 Feb – Pergerakan Pemuda UMNO Negeri Johor percaya dan yakin, berbekalkan pengalaman dan kewibawaan Menteri Besar Johor Datuk Ir Hasni Mohammad, maka Johor mampu bangkit semula dan menempa nama selepas 22 bulan ‘terlena’ dari tidurnya ekoran dipimpin oleh sekelompok mereka yang tidak cakna dengan rakyat.

Ketuanya, Mohd Hairi Mad Shah berkata, pada hari ini menyaksikan genap tempoh setahun Hasni Mohammad menerajui pentadbiran negeri ini sebagai Menteri Besar Johor yang ke-18 selepas seluruh negara termasuk negeri ini melihat pergolakan politik dalam Pakatan Harapan (PH) sehingga tumbangnya kerajaan PH ketika di peringkat pusat dan beberapa negeri.

Jelasnya, sepanjang pentadbirannya sememangnya ada yang berseloroh dan menyatakan tidak banyak yang dilakukan kerajaan yang menggantikan PH sebelum ini, tetapi harus diingatkan kerajaan yang diterajui Ir Hasni dengan kebijaksanaan dan pengalaman beliau, membolehkan perjalanan kerajaan negeri ini lancar dan bertahan sehingga hari ini, tanpa perlu mengubah Menteri Besar beberapa kali.

“Barisan EXCO dan keseluruhan pentadbiran Kerajaan Johor juga diharapkan terus memainkan peranan dan menjalankan tugas dengan lebih efektif membantu Menteri Besar memacu negeri ke arah yang lebih baik, sekali gus memberi limpahan kepada rakyat di negeri ini.

“Setahun lalu, beberapa hari sejurus selepas tertubuhnya kerajaan baharu di Johor, kita berhadapan dengan serangan pandemik COVID-19 yang mengubah landskap sosial berikutan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pada Mac 2020. Ia perlu diakui sebagai satu batasan untuk pelbagai inisiatif atau majlis bagi tujuan membantu rakyat terjejas serta tidak dapat dilaksanakan.

“Namun, Kerajaan Johor tidak duduk berdiam diri dan pelbagai perencanaan dan agenda membantu rakyat dirancang dan dilaksanakan, termasuk pembentangan Belanjawan Johor 2021 yang dilihat memberi fokus menangani kemaslahatan rakyat ketika pandemik COVID-19,” katanya dalam satu kenyataan media kepada UMNO Online, hari ini.

Tambah Hairi lagi, untuk bangkit daripada kesan pandemik COVID-19 bukan mudah, namun dengan tibanya bekalan vaksin di Malaysia minggu ini, ia memberi sinar harapan buat semua rakyat di negara ini untuk dijadikan sebagai titik permulaan memulihkan semula negara termasuk negeri Johor ini.

“Dokongan rakyat di seluruh negeri Johor juga penting dan diharapkan dapat terus menyahut dan memberikan sepenuh sokongan serta kepercayaan kepada Menteri Besar dan barisan kepimpinan untuk terus menerajui dan membawa perubahan kepada ‘Bumi Jauhar’ ini.

“Akhir sekali, ucapan setinggi-tinggi tahniah dari Pergerakan Pemuda UMNO Negeri Johor serta ingin menegaskan dan menyatakan, Pemuda Negeri Johor akan terus berada di belakang dan menyokong Menteri Besar untuk sama-sama membentuk dan membina semula Johor,” ujarnya – UMNO Online

@umnoonline

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.