Gagal Sediakan Peralatan Merekod Diri Pelanggan, 108 Ditahan Semalam – Ismail Sabri

KUALA LUMPUR, 27 Feb – Kesalahan gagal menyediakan peralatan merekod diri pelanggan adalah yang tertinggi dikesan dengan 108 individu ditahan semalam kerana ingkar pematuhan prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata kesalahan lain direkodkan ialah tiada penjarakan fizikal membabitkan 106 individu, tidak memakai pelitup muka (96), rentas daerah atau negeri tanpa kebenaran (51), keluar rumah tanpa alasan munasabah (42), aktiviti perjudian (18), premis beroperasi lebih masa atau tanpa kebenaran (10) dan lain-lain (satu).

“Seramai 432 individu ditahan atas kesalahan ingkar SOP dan daripada jumlah itu, 414 dikompaun manakala 18 lagi direman,” katanya dalam kenyataan perkembangan harian PKP hari ini.

Pada masa sama, beliau berkata 27 pendatang tanpa izin ditahan dalam Op Benteng di seluruh negara, manakala dua bot atau kapal serta sebuah kenderaan darat dirampas.

“Dalam operasi itu, pihak berkuasa turut mengesan 38 bot/kapal di perairan negara melalui enam operasi penglihatan. Selain itu, seramai 10 pendatang tanpa izin turut diusir menerusi satu operasi pengusiran,” katanya.

Sementara itu, Ismail Sabri memaklumkan seramai 1,318 individu tiba di semua pintu masuk antarabangsa semalam dan kesemua mereka dikuarantin di stesen-stesen kuarantin di seluruh negara.

Beliau berkata, pemantauan dan pemeriksaan oleh anggota Penguatkuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) di peringkat peruncit dan pemborong pula mendapati, bekalan makanan berada dalam keadaan stabil dan mencukupi. – BERNAMA

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.