Rapatkan Saf UMNO… Musuh Suka Lihat Perpecahan Terutamanya PH – Armand

KUALA LUMPUR, 26 Feb – Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO, Datuk Armand Azha Abu Hanifah menyeru seluruh ahli serta pemimpin UMNO untuk bersama-sama ke arah gerakan perdamaian bagi mengukuhkan penyatuan dan perpaduan dalam parti.

Katanya, penyatuan ini penting untuk memastikan agenda membantu rakyat dapat difokuskan dikala golongan ini masih terbeban dengan penularan pandemik COVID-19.

“Kesepakatan ini amat penting terutama kita dalam perjalanan menuju ke arah Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15),” katanya menerusi satu hantaran di Facebook.

Tambah beliau tindakan segelintir pihak yang dilihat terbuka mengkritik berkenaan isu-isu dalaman hanya akan menimbulkan persepsi negatif serta mengundang kecaman daripada pihak lain.

“Perbalahan sesama kita itu yang mereka mahukan, jika kita nilai dan pantau Pakatan Harapan (PH) terutama Dap senyap kebelakangan ini kerana mereka suka melihat kembali perpecahan sesama kita khususnya dalam UMNO.

“Bagi saya jika ini berterusan, pandangan rakyat non partisan akan kembali pada persepsi negatif,” katanya.

Armand yang juga Ketua UMNO Bahagian Subang berkata modus oparandi ‘cyber troopers’ Red Bean Army masih sama iaitu bertindak melaga-lagakan pemimpin.

Ujarnya, selain itu mereka juga berperanan menghakis sokongan ahli parti terhadap kepimpinan sebagai mana yang dilakukan pihak ini semasa PRU14 yang lalu.

“Kini bila saya lihat, ianya sama strategi mereka iaitu perpecahan dalaman parti kita… serang menyerang sesama. Jika kita biarkan keadaan ini berterusan saya risau PRU15 kita ibarat memberi kemenangan pada PH.

“Renung-renungkan… musuh utama bukan sesama kita tapi musuh yang nyata adalah PH,” katanya lagi. – UMNO Online

Oleh: Nurul Saadah Latib

@umnoonline

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.