Pemuda UMNO, PAS Bersama Gerakkan Agenda Sanitasi Kawasan Tumpuan Awam


KUALA LUMPUR, 26 Feb – Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia dan Dewan Pemuda PAS Malaysia telah bersepakat menggerakkan secara bersama jentera Pemuda UMNO dan PAS di seluruh Malaysia untuk menjalankan inisiatif sanitasi atau nyahkuman secara percuma bagi mencegah virus COVID-19.

Ketua Pergerakan Pemuda UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata, fokus gerak kerja bersama ini akan ditumpukan di kawasan awam terutamanya masjid, surau dan rumah ibadah termasuklah sekolah-sekolah menjelang pembukaan sesi persekolahan.

“Bagi memastikan kejayaan dan keberkesanan inisiatif ini, Sukarelawan Skuad Sabil Pemuda UMNO dan Jabatan Amal Malaysia seluruh Parlimen akan turut digembleng dan digerakkan secara bersepadu.

“Mudah-mudahan kesepakatan dan kerjasama ampuh melalui usaha murni antara Pemuda UMNO dan PAS ini dapat membantu rakyat bagi mengurangkan risiko terdedah kepada ancaman pandemik COVID-19. Moga khidmat bakti dan kerja amal yang dilakukan secara bersama ini diterima Allah sebagai amal soleh yang diredaiNya jua,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam kenyataan bersama dengan Ketua Dewan Pemuda PAS Malaysia, Senator Ir. Ts. Hj Khairil Nizam Khirudin berkaitan hal tersebut dan memaklumkan bahawa persetujuan ini telah dibuat dalam Mesyuarat Muafakat Nasional baru-baru ini. – UMNO Online