Parlimen Bersidang: Kerajaan Yang Baik Tidak Takut Dengan Soalan Di Dewan Rakyat – Shabery

KUALA LUMPUR, 26 Feb – Parlimen merupakan tempat perbahasan bagi sesebuah kerajaan yang bukan sahaja untuk menjawab pelbagai soalan yang akan ditimbulkan oleh Ahli Parlimen yang mewakili rakyat malah lebih jauh daripada itu untuk kepentingan dan masa depan negara.

Bagi Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek, kerajaan yang baik pastinya tidak takut dengan soalan apatah lagi ramai yang ingin tahu soal ekonomi, pendidikan dan sebagainya.

“Sepatutnya bulan Mac tahun ini, Perasmian untuk Penggal ke-4 Parlimen ke 14. Mendengar Titah di-Raja dan Perbahasan. Kalau ada pengundian wajib pun hanya untuk usul Menjunjung Kasih Titah Di-Raja. Saya percaya ia tidak akan ditolak.

“Kerajaan tak jatuh kerana mendengar perbahasan, melainkan kerajaan sendiri membawa usul Undi Percaya kepada dirinya. Tak buat pun tak apa. Kerajaan selamat,” katanya menerusi catatan di Facebook, di sini, hari ini.

Kata beliau lagi walaupun perbahasan di negara ini ada sedikit bingit dan sebagainya, namun ianya tidaklah sehingga membawa kepada pergaduhan sepertimana beberapa negara luar yang lain.

“Perbahasan Parlimen kita biasanya ada sedikit bingit, sebab disiplin kita tak sama seperti di UK, tapi tak lah gaduh hingga bertumbuk seperti di Turkey, Taiwan atau di Afrika.

“Paling penting kesediaan kerajaan menjawab pelbagai soalan yang akan ditimbulkan. Ramai nak tahu. Bukan hanya fasal vaksin dan covid, tapi juga fasal ekonomi, pendidikan dan masa depan negara. Kerajaan yang baik pastinya tak takut dengan soalan,” ujarnya.

Dilaporkan, Rabu lalu Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menzahirkan pandangan bahawa Parlimen boleh bersidang semasa tempoh darurat berkuat kuasa pada suatu tarikh yang difikirkan sesuai dan perkara itu termaktub dalam subperenggan 14(1)(b) Ordinan Darurat (Kuasa-Kuasa Perlu) 2021 yang menyatakan Parlimen hendaklah dipanggil, diprorog dan dibubarkan pada suatu tarikh sebagaimana difikirkan sesuai. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.