Inisiatif Sanitasi Percuma Pemuda UMNO-PAS Bakal Serlah Khidmat Anak Muda Kepada Masyarat

MERSING, 26 Feb – Pergerakan Pemuda UMNO Mersing menyambut baik inisiatif Pemuda UMNO dan Pemuda PAS untuk menjalankan inisiatif sanitasi atau nyahkuman secara percuma bagi mencegah virus Covid-19 di seluruh negara.

Ketuanya, Azmir Zainal Abidin menjelaskan, pihaknya akan segera mengerakkan jentera bersama Pemuda PAS melalui Skuad Sabil dan Jabatan Amal untuk mengenal pasti kawasan-kawasan awam di Daerah Mersing agar gerak kerja bersama khususnya kawasan tumpuan seperti masjid, surau dan rumah ibadat termasuklah sekolah-sekolah menjelang pembukaan sesi persekolahan, sebagaimana yang disarankan Ketua Pemuda UMNO dan PAS sebelum ini dilaksana.

“Kami rasa amanah dan tanggungjawab yang diberikan ini adalah khidmat bakti yang akhirnya memberikan nilai kepada masyarakat, malah program itu adalah inisiatif Pemuda UMNO dan PAS dalam membantu kerajaan untuk mencegah penularan COVID-19 di lokasi yang pastinya sering menjadi tumpuan ramai.

“Kita juga berharap agar gerak kerja bersama ini dapat membantu meringankan tugas agensi kerajaan lain seperti Kementerian Kesihatan, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia serta Pihak Berkuasa Tempatan yang perlu memberi fokus kepada lokasi berisiko tinggi yang lain.

“Dengan usaha ini, kita dapat mencegah dan mengurangkan penularan COVID-19, di samping mengurangkan beban petugas barisan hadapan,” ujarnya yang juga Setiausaha Pemuda UMNO Negeri Johor.

Katanya, inilah masa yang terbaik untuk mengembling tenaga anak muda sama-sama berusaha agar COVID-19 segera hilang dan rakyat kembali kepada kehidupan normal seperti sebelum ini.

“Program ini juga bukan sekadar dapat bantu barisan hadapan kita dan kita mengharapkan lebih ramai sukarelawan akan bersama Skuad Sabil dan Jabatan Amal memainkan peranan supaya rantaian COVID-19 dapat diputuskan.”

Terdahulu, dalam Mesyuarat Muafakat Nasional baru-baru ini, Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia dan Dewan Pemuda PAS Malaysia telah bersepakat untuk menggerakkan secara bersama jentera di seluruh Malaysia untuk menjalankan inisiatif sanitasi atau nyahkuman secara percuma bagi mencegah virus COVID-19. – UMNO Online