Bank Untung Besar, Kenapa Moratorium Tidak Dilanjutkan?

KUALA LUMPUR, 26 Feb – Presiden UMNO Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menimbulkan persoalan mengapa pihak bank masih tidak mahu melanjutkan moratorium kepada peminjam walaupun mendapat keuntungan yang besar.

Tegas Pengerusi Barisan Nasional (BN) itu, pihak bank sepatutnya bertanggungjawab membantu pelanggan setia serta demi masa hadapan kedua-dua pihak.

“Kenapa moratorium tidak dilanjutkan? Bank mendapat keuntungan besar dan ada tanggungjawab untuk bantu pelanggan setia mereka supaya pelanggan tidak muflis dan bank tidak kehilangan pelanggan untuk masa hadapan apabila ekonomi pulih,” ujarnya dalam satu hantaran di Facebook petang ini.

Dalam postingnya itu, Ahmad Zahid turut memuatnaik video kreatif mengenai keuntungan yang diperolehi oleh bank-bank di negara ini walaupun ketika berdepan dengan pandemik COVID-19.

Turut dilampirkan, pautan berita bank tempatan yang mencatatkan keuntungan di mana laporan tersebut antaranya menyentuh dua daripada bank terbesar tempatan, Malayan Banking Bhd (Maybank) dan Kumpulan Public Bank masing-masing melaporkan keuntungan bersih RM6.48 bilion dan RM4.87 bilion bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2020.

Seterusnya, Ahmad Zahid juga memaparkan pautan berita pengangguran di negara ini semakin meningkat di mana Kementerian Sumber Manusia berkata berdasarkan Sistem Insuran Pekerjaan (SIP), telah merekodkan seramai 99, 696 pekerja diberhentikan antara Januari hingga 27 November tahun lalu akibat kesan penularan COVID-19.

Terdahulu, dalam isu yang sama Setiausaha Agung UMNO Datuk Seri Ahmad di dalam Twitternya juga ada membangkitkan supaya moratorium diberikan secara automatik memandangkan bank tempatan kekal mencatatkan keuntungan.

“Jika bank tempatan kekal catat untung, maka moratorium automatik boleh dilaksana. Boleh dikecualikan T20 dan syarikat besar, namun automatik kepada M40, B40 dan syarikat-syarikat perindustrian kecil dan sederhana (PKS).

“Sekarang ini secara bersasar dan perlu memohon. Secara automatik itu kehendak ramai rakyat yang wajar ditimbangkan. Terima kasih,” ciap Ahli Parlimen Pontian itu lagi. – UMNO ONLINE

@umnoonline