Perjuangan UMNO: Zaman Susah Baru Tahu Erti ‘Pengorbanan Sebenar’ – Armand

KUALA LUMPUR, 25 Feb – Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO, Datuk Armand Azha Abu Hanifah berkata banyak pengorbanan yang dilakukan oleh pemimpin untuk memperkuatkan parti selepas mengalami kekalahan pada Pilihan Raya Umum ke-14.

Katanya, mereka ini bukan sahaja mendedikasikan wang serta harta benda untuk memastikan UMNO tetap teguh dan relevan sekaligus memperjuangkan nasib rakyat.

“Yang pegang jawatan ketika zaman susah ini rata-rata sedia berkorban masa, harta dan jiwa walaupun pelbagai tekanan oleh Pakatan Harapan (PH), kerana sayangkan parti UMNO.

“Sepanjang masa jadi pemimpin zaman kita hilang kuasa hingga kini, semua program dan perbelanjaan asas terutama di bahagian-bahagian ditanggung sendiri oleh pemegang amanah yang diangkat melalui proses demokrasi iaitu pemilihan parti,” katanya.

Malah, katanya ada juga yang tidak berani mengambil risiko apabila UMNO kehilangan kuasa kerana penindasan diberikan kerajaan pada ketika itu yang ditadbir PH.

“Saya setuju dengan pandangan bila kita kalah, baru kita nampak siapa yang setia dan siapa yang tidak.

“Zaman awal jadi pembangkang, tak ramai berani menawarkan diri jadi pemimpin UMNO. Pasal sudah tiada kuasa dan ditambah pula pelbagai tekanan oleh PH,” katanya menerusi satu hantaran di Facebook.

Armand yang juga Ketua UMNO Bahagian Subang bagaimanapun berkata, sejak menjadi sebahagian daripada kerajaan Perikatan Nasional (PN) ada segelintir pihak yang sudah berhijrah suatu ketika dahulu, kini mula ingin kembali kepada perjuangan parti.

“Kita terima mereka tiada masalah tapi kami ingat apa yang telah anda lakukan ketika kami hilang kuasa. Akar umbi harus ingat dan kaji siapa yang setia pada perjuangan zaman PH.

“Berjalan, jangan berlari. Sebab hidup itu perjalanan, bukan pelarian. Hidup adalah perjalanan yang harus dilalui, tidak peduli seberapa buruk jalan yang harus dilewati.

“Hal terbaik akan diberikan kepada mereka yang bersabar dan terus bertindak, tidak hanya dalam usaha namun juga dalam doa,” tegasnya lagi. – UMNO Online

Oleh: Nurul Saadah Latib

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.