Junjung Titah Yang Di-Pertuan Agong, Peluang Terbaik Kembalikan Kekuatan Parlimen – Khaled

KUALA LUMPUR, 25 Feb – Semalam, Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah bertitah bahawa Parlimen boleh bersidang semasa tempoh darurat berkuat kuasa pada suatu tarikh yang difikirkan sesuai.

Sehubungan itu, Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin menjunjung setinggi-tinggi kasih atas keprihatinan dan Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong dalam hal ini.

Katanya, sudah pasti keputusan dan titah sedemikian akan disambut baik oleh semua pihak.

“Kepada semua Ahli Parlimen, tidak kiralah dari pihak kerajaan mahupun pembangkang, ambillah ruang dan peluang ini untuk kembali bersidang. Bahaskanlah secara serius serta objektif akan jalan keluar dari segala kemelut ekonomi dan kesihatan awam yang sedang kita hadapi ini,” ujarnya melalui kenyatan dalam laman facebooknya berkaitan hal tersebut.

Jelasnya, ini adalah peluang terbaik untuk semua Ahli Parlimen membukti dan mengembalikan kekuatan Parlimen sebagai medan sebenar suara rakyat.

“Ketepikan sebentar pergeseran ideologi politik dan perebutan kuasa. Sebaliknya, manfaatkanlah ruang ini untuk memberikan kepimpinan terbaik kepada masyarakat dan negara.

“Semoga amalan demokrasi berparlimen negara ini akan terus matang dan kita semua akan mendapat manfaat yang selayaknya,” katanya lagi. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.