Titah Yang Di-Pertuan Agong Mendukung Sistem Demokrasi – Shahril

KUALA LUMPUR, 24 Feb – Ketua Penerangan UMNO, Shahril Hamdan berkata parti itu menjunjung titah Kebawah Duli Yang Maha Mulia Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah bahawa Parlimen boleh bersidang semasa darurat pada tarikh yang ditetapkan kelak.

Menurut beliau kebijaksanaan Seri Paduka Baginda Tuanku dalam titah Baginda hari ini membuktikan bahawa Ketua Negara yang memayungi rakyatnya meletakkan sistem demokrasi berparlimen pada tahap yang amat tinggi.

Ia juga tambah Shahril lagi  membuktikan bahawa Seri Paduka Baginda Tuanku mengutamakan prinsip keluhuran Perlembagaan dan setiap cabang sistem demokrasi negara perlu akur kepada prinsip tersebut termasuklah Kerajaan Malaysia (Eksekutif).

“Pendirian agar Parlimen kembali bersidang sesegera mungkin adalah selari dengan hasrat memelihara peranan ‘legislative oversight’ atau semak dan imbang yang dimainkan oleh ahli-ahli Yang Berhormat Dewan Rakyat dan Negara,” katanya menerusi catatan di Facebook, di sini, hari ini.

Jelas Shahril lagi, pendirian inilah yang telah mendorong kepimpinan UMNO menggesa suatu solusi yang membenarkan persidangan Parlimen tanpa sesekali pun membelakangi titah Duli Yang Maha Mulia Yang di-Pertuan Agong.

“Misalnya, peranan Ahli Parlimen  Pengerang yang juga Timbalan Speaker Dewan Rakyat,  Datuk Sri Azalina Othman Said yang mengemukakan hujahan berpaksikan kepada kepakaran beliau dalam bidang perundangan telah membuka mata ramai rakyat Malaysia berkenaan rasional dan asas pendirian ini.

“Rakyat Malaysia sentiasa mendoakan agar Tuanku dikurniakan kesihatan, kesejahteraan dan kemakmuran yang berpanjangan serta sentiasa diberkati Allah S.W.T,” ujarnya.

Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah hari ini bertitah bahawa Parlimen boleh bersidang semasa tempoh darurat berkuat kuasa pada suatu tarikh yang difikirkan sesuai oleh Seri Paduka atas nasihat Perdana Menteri.

Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara, Datuk Indera Ahmad Fadil Shamsuddin, dalam kenyataan Istana Negara hari menyebut bahawa perkara berkenaan termaktub dalam sub perenggan 14 (1)(b) Ordinan Darurat (Kuasa-Kuasa Perlu) 2021 yang menyatakan bahawa Parlimen hendaklah dipanggil, diprorog dan dibubarkan pada suatu tarikh sebagaimana yang difikirkan sesuai oleh Seri Paduka Baginda atas nasihat Perdana Menteri- UMNO Online

@umnoonline

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.