Tarik Balik, Perbetulkan Fakta Sejarah Tingkatan 4 Mengagungkan Komunis – Pemuda UMNO

KUALA LUMPUR, 24 Feb – Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia memandang serius unsur-unsur fakta yang dimanipulasikan dengan mengagung-agungkan pihak komunis sebagai pejuang kemerdekaan dalam silibus dan sukatan buku teks sejarah tingkatan 4 Kurikulum Standard Sekolah Menengah (KSSM).

Menurut Ketuanya, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki, perkara ini semacam satu usaha terancang dan sengaja dilakukan ketika 22 bulan Pakatan Harapan (PH) memerintah bagi menanamkan benih ideologi ‘Malaysian Malaysia’ dan secara halus menyuci pemikiran pelajar bahawa fahaman sosialis dan komunis tidaklah buruk malah diangkat sebagai antara ideologi yang memperjuangkan kemerdekaan.

“Lebih mendukacitakan lagi apabila terdapat juga elemen memfitnah dan menohmah orang Melayu sebagai barua atau orang suruhan pihak penjajah Jepun untuk menentang Komunis dan MPAJA (Rujuk muka surat 75 Buku Teks Sejarah Tingkatan 4).

“Secara halus dan tersirat, Kerajaan Pakatan Harapan (PH) terdahulu telah mengangkat dan menjulang anggota Komunis dan MPAJA sebagai perwira dan pejuang kemerdekaan yang wajar diberikan pengiktirafan,” katanya dalam satu hantaran di Facebook pagi ini.

Justeru tegasnya, Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia mendesak agar Kementerian Pendidikan segera menarik balik buku-buku sejarah Tingkatan 4 dan memperbetulkan kembali fakta-fakta yang cuba dimanipulasi bagi merubah sejarah negara. – UMNO ONLINE

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.