Skuad Sabil Dan Pemuda UMNO Konsisten Bantu Rakyat – Fazly Zainudin

KUALA LUMPUR, 24 Feb – Sukarelawan Skuad Sabil dan Pemuda UMNO telah banyak menjalankan khidmat bakti dan tugas-tugas kebajikan bagi membantu masyarakat setempat.

Menurut Pesuruhjaya Skuad Sabil Malaysia, Datuk Mohamad Fazly Zainudin, sebanyak 191 Pemuda UMNO bahagian seluruh Malaysia telah membantu rakyat serta ‘menjuarai jiwa’ dan ‘hati rakyat’ di kala negara sedang dilanda pandemik COVID-19.

Katanya, walaupun sukarelawan skuad Sabil secara majoritinya terdiri daripada penganut agama Islam dan berbangsa Melayu, ini tidak menghalang mereka untuk menabur bakti kepada semua rakyat Malaysia tanpa mengira agama dan bangsa.

“Di kala pandemik COVID-19 melanda negara kita, sukarelawan skuad Sabil dan Pemuda UMNO telah turun padang untuk menjalankan kerja-kerja ‘nyahkuman’ dan ‘sanitasi’ secara percuma di kawasan-kawasan awam antaranya perumahan, bangunan pejabat, sekolah-sekolah, balairaya, dewan, masjid-masjid, surau-surau serta tempat permainan awam.

“Keunikan khidmat sukarelawan skuad Sabil tidak terhenti setakat itu sahaja dengan berbekalkan semangat ‘Setia Berkhidmat’. Sukarelawan skuad Sabil turut membantu dalam menjalankan kerja-kerja sanitasi di rumah-rumah ibadah bukan Islam seperti kuil dan tokong.

“Alhamdulillah… permintaan yang tinggi daripada masyarakat dan yang terbaru kebanyakan sekolah-sekolah di seluruh Malaysia meminta Skuad Sabil dan Pemuda UMNO untuk sanitasi sekolah mereka walaupun mendapat halangan daripada beberapa pihak Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) dan Pejabat Pendidikan Daerah (PPD). Ini menunjukkan UMNO masih relevan di hati rakyat Malaysia,” katanya kepada UMNO Online, hari ini.

Beliau yang juga Exco Pergerakan Pemuda UMNO menjelaskan sukarelawan skuad Sabil dan Pemuda UMNO telah memulakan tugasan serta turun padang di kala berlakunya insiden dan bencana yang tidak diingini.

“Pelbagai sumbangan peralatan dan bekalan kepada penduduk yang memerlukan, sebagai contoh membantu dalam proses pembersihan kawasan yang terjejas akibat banjir, bergotong-royong membantu dan membaiki kerosakan akibat bencana tersebut,” katanya lagi.

Dalam masa yang sama beliau turut mengharapkan agar Pemuda UMNO terus konsisten dalam perjuangan membela rakyat.

“Pemuda UMNO akan terus menjadi jurubicara, penyampai denyut nadi rakyat dan suara hati rakyat kepada pihak kerajaan terutamanya dalam isu-isu yang melibatkan kesusahan dan kepayahan rakyat tidak kira apa jua keadaan sekalipun.

“Kami akan sentiasa berada di hadapan untuk membela nasib rakyat,” katanya. – UMNO Online

Oleh: Amin Adnan

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.