Kerajaan Perlu Cari Jalan Segera Bantu Graduan Berdepan COVID-19 – Zahid

KUALA LUMPUR, 24 Feb – Bagaimanakah nasib siswazah serta para graduan seluruh negara ketika ini setelah Malaysia dan dunia berdepan ancaman pandemik COVID-19 yang menyebabkan bukan sahaja golongan berkenaan malah kalangan mereka yang lain daripada pelbagai sektor turut menerima tempias?

Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi terpanggil memperkatakan soal berkenaan.

Beliau melontarkan persoalan apakah agaknya nasib yang akan berlaku kepada lebih 200,000 siswazah kerana ketika negara berdepan ancaman COVID-19 dan ekonomi yang tenat, graduan antara 772,900 individu di Malaysia tiada pekerjaan.

Justeru beliau berpandangan kerajaan perlu mencari jalan segera untuk membantu mereka termasuklah penyediaan skim usahawan mikro atau pinjaman boleh ubah berbentuk geran perniagaan untuk siswazah mungkin antara langkah yang wajar diperkasakan.

“Apa khabar sahabat semua terutama para siswazah kita yang sedang gigih mencari pekerjaan ketika industri dan ekonomi kelihatan suram…. Saya banyak menerima keluhan ibu bapa di media sosial mengenai perkara ini.

“Anak belajar tinggi tiada kerja. Hutang PTPTN tidak mampu dibayar apatah mahu membina kehidupan barupara ‘pejuang’ minta hapuskan Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) berkhemah berguling sana sini di Dataran Merdeka pun sudah tiada.

“Sebenarnya isu peningkatan pengangguran dalam kalangan graduan telah pun banyak diketengahkan pada tahun 2018. Ketika itu hampir 60 peratus siswazah peringkat pengajian Ijazah Pertama dan ke atas dilaporkan menganggur. Jumlah siswazah menganggur pada 2016 seramai 145,800 orang mengingkat mendadak kepada seramai 170,300 orang pada 2019,” katanya menerusi catatan di Facebook, di sini, hari ini.

Tambah Ahmad Zahid lagi, bagi tahun ini, jumlahnya dilaporkan meningkat antara 200,000 hingga 230,000 orang dan angkara pandemik COVID-19 serta ketidakstabilan ekonomi menyebabkan mereka menjadi sebahagian daripada mangsa. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.