Jangan Terperangkap Mainan Pihak Tertentu Yang Tidak Mahu UMNO ‘Berlari’ – Sharkar

KUALA LUMPUR, 24 Feb – Ahli parti dan pimpinan UMNO pelbagai peringkat diingatkan agar tidak mudah terjebak malah jauh sama sekali mudah terperangkap dengan mainan pihak-pihak tertentu yang terus menerus cuba untuk melemahkan UMNO.

Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO Datuk Seri Mohd Sharkar Shamsudin berkata dalam keadaan hari ini tentunya ada pihak-pihak tertentu yang iri hati dan sekaligus tidak mahu melihat kebangkitan UMNO dengan permuafakatan di dalam parti sebagai persediaan untuk menghadapi pilihan raya umum akan datang.

Menurut beliau dalam keadaan negara diancam pandemik COVID-19 dan pelbagai musibah lain sepertimana banjir dan sebagainya lagi, UMNO meneruskan khidmat baktinya kepada rakyat tanpa mengira penat dan lelah malah keadaan itu berterusan walaupun pelbagai tohmahan dilemparkan kepada parti khususnya institusi presiden dan kepimpinan lain.

“Justeru atas dasar itulah kita sebagai ahli parti mahu pun pimpinan pelbagai peringkat perlu menolak sebarang unsur provokasi daripada mana-mana pihak sekali pun yang kita percaya hanya sekadar mempunyai nawaitu untuk melihat parti terus berpecah.

“Selepas satu isu ditimbulkan satu isu lain… selepasa soal itu dilontarkan, ada pula soal lain yang seolah-olah UMNO tidak boleh bergerak. Malah kita mengadakan mesyuarat MKT parti pun ada pihak lain yang resah gelisah. Yang paling ‘lawak’ ada pihak lain pula yang minta didedahkan keputusan mesyuarat,” katanya kepada UMNO-Online, di sini, hari ini.

Tegas Sharkar yang juga Exco Kerajaan Negeri Pahang dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lanchang, UMNO mempunyai garis masa malah mempunyai struktur yang tersendiri dalam menguruskan sebarang keputusan apatah lagi melibatkan soal dasar.

Beliau penuh yakin dan percaya soal-soal dasar dan sebagainya akan terus menjadi mainan atau buah mulut pelbagai pihak terutama kalangan mereka yang ingin melihat UMNO terus merangkak dan bukannya berjalan malah boleh berlari pecut sehingga pilihan raya umum kelak.

“Namun dalam kita bercakap soal politik perkara utama serta penekanan terhadap rakyat tetap menjadi keutamaan dan inilah sebenarnya rahsia yang menyebabkan parti kembali mendapat kepercayaan rakyat.

“Insya-Allah sama-sama kita pertahankan parti… sama-sama kita pertahankan maruah perjuangan UMNO kerana cabaran yang mendatang ini sesuatu yang sukar. Jika muafakat kita kukuh datanglah badai setinggi mana sekali pun UMNO tetap mampu berjalan malah mampu berlari. Yang penting kita tidak mudah masuk perangkap yang dipasang,” ujarnya lagi. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.