UMNO Parti Perjuangan, Sabah Cekal Meniti 30 Tahun Dalam Parti Berteraskan Keyakinan – Bung Moktar

KUALA LUMPUR, 23 Feb – UMNO Sabah optimis berbekalkan roh perjuangan yang sebenar dalam parti untuk kekal relevan memperjuangkan nasib rakyat di negeri terbabit.

Ketua UMNO Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin berkata ini kerana dengan kerjasama serta iltizam pemimpin dan ahli-ahli parti maka UMNO Sabah kini berjaya menjadi sebahagian daripada kerajaan negeri di bawah Gabungan Rakyat Sabah (GRS).

“Pertama kita harus ingat bahawa UMNO ini bukan hanya sebuah parti yang biasa-biasa. UMNO ini sebuah parti yang menekankan perjuangan yang kedua saya selalu pesan dengan kawan-kawan bahawa dalam perjuangan kita kena ada keyakinan.

“Jadi keyakinan, kepercayaan dan ketelusan itulah yang menyebabkan kecekalan dan memberikan kekuatan dalam memimpin UMNO Sabah,” katanya.

Menurutnya, ramai pihak menganggap bahawa UMNO mengalami kekalahan moral memandangkan ramai dalam kalangan pemimpin utama negeri Sabah mula meninggalkan UMNO selepas Pilihan Raya Umum ke-14.

“Ramai yang berhijrah meninggalkan kami tapi saya berpegang kepada pemimpin datang dan pergi, perjuangan itu perlu diteruskan dan Alhamdulillah keyakinan itu ada walaupun kita bermula kembali daripada kosong.

“Pelan-pelan keyakinan itu datang dan saya melihat bahawa penghijrahan itu cuma di peringkat pemimpin tertinggi, tapi peringkat akar umbi mereka ini keliru… mereka kadang-kadang menjangka bahawa UMNO ini sudah tidak ada sedangkan sebaliknya,” ujarnya.

Beliau yang juga Timbalan Ketua Menteri Sabah berkata demikian menerusi program ‘Meniti Perjuangan Sepanjang 30 Tahun UMNO Sabah’ yang turut menampilkan Timbalan Ketua UMNO Sabah, Datuk Yaakub Khan bersama moderator Datuk Noor Azizan di Facebook UMNO Online malam tadi.

Ujar Ketua UMNO Bahagian Kinabatangan itu, Pilihan Raya Kecil (PRK) Kimanis yang diadakan pada 18 Januari tahun lalu menjadi saksi kepada kebangkitan UMNO di negeri itu dan secara jelas menjadi petanda bahawa nafas baharu UMNO sudah bermula.

“Maka PRK Kimanis inilah yang saya selalu tekankan dengan kawan-kawan bahawa di sinilah hidup matinya UMNO Sabah

“Kalau kita menang maka peluang untuk UMNO kembali memerintah Negeri Sabah ada tetapi kalau kita ditakdirkan kalah perjuangan kita akan menjadi lebih sukar.

“Namun Allah memberikan kepada kami kemenangan di PRK Kimanis walaupun ada segelintir penganalisis politik menyatakan Barisan Nasional (BN) tidak akan menang pada PRK itu,” tegasnya.

Dalam hal itu, Bung memaklumkan bahawa beliau tidak menyangka selepas meraikan momen indah di Kimanis, UMNO Sabah sekali lagi bergerak ke hadapan dan berjaya menjadi sebahagian daripada gabungan kerajaan negeri di bawah GRS.

“Kita juga tidak menduga bahawa Pilihan Raya Negeri Sabah pula berlaku dalam tempoh masa empat hingga lima bulan selepas itu.

“Jadi semua ini saya lihat adalah datang daripada Allah, Dia berikan PRK Kimanis, Dia berikan PRN Sabah.

“Walaupun kita menang 14 kerusi tapi daripada keadaan kita yang dikatakan bermula dengan kosong namun akhirnya mengecap kejayaan demi kejayaan yang diperolehi sehingga menjadikan UMNO sebahagian daripada kerajaan GRS hari ini,” ujarnya lagi. – UMNO Online

Oleh: Nurul Saadah Latib

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.