Sinar Baharu, Rakyat Perlu Beri Kerjasama Pengagihan Vaksin Pfizer-BioNTech – Noraini

KUALA LUMPUR, 23 Feb – Wanita UMNO Malaysia amat berharap seluruh rakyat memberikan kerjasama dalam pelaksaaan pengagihan vaksin Pfizer-BioNTech yang dianggap memberikan sinar baharu dalam perjuangan negara menentang dan melandaikan pandemik COVID-19.

Ketuanya, Datuk Dr Noraini Ahmad berkata, rakyat perlu tingkatkan pengetahuan kelebihan vaksin ini kerana vaksinasi amat penting untuk melindungi bukan sahaja diri sendiri, tetapi juga yang tersayang.

“Perbekalan vaksin COVID-19 ini merupakan usaha besar kerajaan dalam menjaga kesihatan dan kebajikan rakyat. Sebanyak RM2.05 bilion (jumlah awal) dibelanjakan bagi mendapatkan vaksin yang akan diberikan secara percuma kepada rakyat Malaysia,” katanya dalam kenyataan media berkaitan hal terbabit.

Ujarnya yang juga Ahli Parlimen Parit Sulong, pastinya Kerajaan telah mempertimbangkan segala segi sebelum mendapatkan vaksin ini.

“Marilah kita bersama-sama berganding bahu menentang pandemik COVID-19 ini,” ujarnya.

Dalam masa yang sama. Wanita UMNO juga mengucapkan sekalung penghargaan dan terima kasih kepada pasukan barisan hadapan yang sentiasa tekun dan berdedikasi dalam menjaga kesihatan rakyat Malaysia dikala menghadapi cabaran pandemik COVID-19.

Dilaporkan, kumpulan pertama vaksin Pfizer-BioNTech telah tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Ahad lalu, dengan diberikan kelulusan pendaftaran bersyarat oleh Pihak Berkuasa Kawalan Dadah (PBKD) dan Bahagian Regulatori Farmasi Negara (NPRA) di samping wajib melalui proses penilaian yang sewajarnya malah akan sentiasa dipantau dengan rapat setelah digunakan. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.