Pemuda Terus Fokus Membela Isu Rakyat, Bantu Rakyat Dan Perkasa Wadah

KUALA LUMPUR, 23 Feb – Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata pelbagai isu telah dibincangkan secara tuntas dan terbuka di dalam mesyuarat ahli jawatankuasa sayap parti itu malam tadi.

Katanya dalam satu hantaran di Facebook pagi tadi, mesyuarat yang diadakan secara dalam talian dengan kehadiran penuh selama tiga jam bermula pukul 9 malam telah membuat beberapa ketetapan, seperti berikut:

1. Pemuda Jurubicara Rakyat

Mesyuarat bersetuju untuk terus menjadi jurubicara dan penyampai denyut nadi dan suara hati rakyat kepada pihak kerajaan terutamanya menyentuh isu-isu yang melibatkan realiti kesusahan dan kepayahan mereka menghadapi Pandemik COVID-19.

Dua talian atau Hotline Pemuda untuk i-Sinar akan diteruskan bagi mendapatkan maklum balas rakyat dalam isu-isu lain termasuk memanfaatkan platform media sosial.

2. Pemuda Bantu Rakyat

Mesyuarat menerima laporan lengkap keberkesanan inisiatif menggerakkan 191 Pemuda Bahagian seluruh Malaysia bagi membantu rakyat mensanitasi tempat-tempat awam termasuk sekolah-sekolah menengah bagi mencegah virus COVID-19.

Lantaran permintaan yang tinggi daripada masyarakat termasuk persedian pembukaan sekolah rendah bermula Mac, inisiatif ini akan diteruskan secara percuma dengan menggerakkan sukarelawan Skuad Sabil dan Pemuda UMNO Bahagian-bahagian di seluruh Malaysia.

3. Gerakan Menyantuni Anak Muda

Mesyuarat juga menerima laporan peningkatan memberangsangkan keahlian Pemuda UMNO seluruh Malaysia yang mencecah hampir 30,000 ahli baharu pada tahun 2020. Bulan Januari lalu sahaja Sekretariat menerima keahlian baharu lebih 2,000 ahli.

Justeru fokus akan diberikan untuk Pemuda di Bahagian-bahagian menggerakkan agenda pengkaderan dan penambahan ahli dan daftar pemilih dengan menggunakan beberapa inisiatif khas termasuk memanfaatkan media sosial.

4. Lantikan Ahli Jawatankuasa Khas Di Kalangan Mahasiswa

Mesyuarat juga bersetuju sebulat suara untuk meminta Pemuda Bahagian-bahagian melantik sekurang-kurangnya seorang Ahli Jawatankuasa Pemuda Bahagian sebagai Lantikan Khas mewakili mahasiswa IPTA/IPTS bagi menyelaras gerakan pengkaderan UMNO SISWA di IPT-IPT.

5. Perkukuh Wadah

Mesyuarat berbincang panjang lebar mengenai hala tuju parti dalam realiti politik semasa. Pemuda UMNO bersepakat untuk terus memperkasakan parti dengan memfokuskan beberapa perkara berikut:
(1) Utamakan solidariti parti dan menentang sebarang bentuk gerakan kabilah dalam parti;
(2) Menghormati institusi dan tradisi parti;
(3) Memartabatkan integriti, disiplin parti dan nilai akhlak dalam kepemimpinan;
(4) Rejuvenasi parti dengan idealisme dan budaya baharu yang murni berteraskan acuan Islam.

6. Perkasakan Kembali BN

Mesyuarat juga bersetuju untuk kembali memperkasakan Barisan Nasional sebagai model yang terbukti berkesan membina negara yang stabil dan harmoni dengan acuan tersendiri.

Bagi tujuan ini, penyelarasan dan penggemblengan jentera di Parlimen-parlimen akan dipertingkatkan bersama rakan-rakan komponen MCA, MIC dan PBRS serta rakan-rakan lain Makkal Sakti, IPF, KIMMA dan Parti Cinta Malaysia.

7. Pertahankan MN

Mengambil maklum usul-usul Mesyuarat Perwakilan Pemuda Bahagian yang majoritinya mahu hubungan dengan PAS melalui kerjasama Muafakat Nasional dipertahankan.

Walaupun PAS sudah menyertai Parti Perikatan Nasional sebagai salah sebuah parti komponen, rata-rata memberi maklumbalas bahawa kerjasama di peringkat akar umbi antara UMNO dan PAS lebih akrab di kebanyakan negeri.

Ini kerana kerjasama dengan PAS lebih bermakna dan bernilai apabila terjalin selama 22 bulan ketika masing-masing tiada kuasa dan diuji dengan kejatuhan. Cuma hari ini, apabila ghanimah harta dan kuasa di depan mata, semua jadi alpa dan leka.

Justeru, Dr Asyraf mengharapkan semoga segala yang dibincangkan dan diputuskan hasil semangat musyawarah ini diberkati dan dirahmati Allah jua. – UMNO ONLINE

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.