Hentikan Politiking Keterlaluan, Bersama Bantu Depani Kehidupan Rakyat – Yaakub Khan

KUALA LUMPUR, 23 Feb – UMNO Sabah menyeru semua pihak sama ada pemimpin mahukan rakyat di negeri terbabit agar bekerjasama dengan kerajaan negeri pimpinan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) dalam mendepani impiklasi penularan pandemik COVID-19.

Timbalan Ketua UMNO Sabah, Datuk Yaakub Khan berkata ini kerana rakyat ketika ini sudah bosan dengan agenda politik yang nescaya tidak akan memberikan impak positif kepada kehidupan rakyat.

“Saya menyeru kepada rakan-rakan di luar sana tidak kira latar belakang politik, tidak kira apa latar belakang perjuangan marilah bersama-sama dengan kita membantu kerajaan untuk sama-sama kita membangunkan bumi Sabah ini.

“Saya setuju dengan bahawa rakyat ketika ini sudah bosan dengan politiking ini, kita yakin serta sedar bahawa rakyat di luar sana berada dalam keadaan yang sangat getir dengan penularan COVID-19 ini,” katanya.

Beliau berkata wabak ini sangat membimbangkan kerana ianya memberikan impak yang cukup besar kepada semua lapisan masyarakat khasnya ekonomi negeri.

“Sekarang ini ekonomi terjejas mengakibatkan sumber rezeki yang tersekat, pergerakan yang terhad, sehinggakan aktiviti-aktiviti untuk meningkatkan ekonomi negeri sangat terkesan.

“Kerjasama daripada semua pihak bukan sahaja pemimpin dan pihak kerajaan itu sendiri tetapi setiap rakyat negeri Sabah juga mempunyai peranan dan tanggungjawabnya masing-masing untuk membantu menjayakan apa yang telah dirancang dan apa yang telah kita usahakan untuk negeri Sabah ini,” katanya.

Beliau yang juga Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Sabah berkata demikian menerusi program ‘Meniti Perjuangan Sepanjang 30 Tahun UMNO Sabah’ yang turut menampilkan Pengerusi UMNO Negeri Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin bersama moderator Datuk Noor Azizan di Facebook UMNO Online malam tadi

Dalam masa yang sama, beliau turut memaklumkan bahawa kerajaan negeri komited untuk memperluaskan jaringan internet sebagai salah satu kemudahan asas yang bakal diperoleh rakyat.

Menurut beliau, jaringan internet ini sangat penting khususnya kepada para pelajar memandang golongan ini menggunakan kaedah pengajaran dan pembelajaran di rumah (PdPR) sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

“Sebenarnya pihak kerajaan khususnya Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi menyedari perkara ini sehinggakan kita peringkat kementerian mengiktiraf internet ini sebagai satu keperluan selain air dan elektrik.

“Atas kesedaran tersebut kita berusaha untuk meningkatkan perkhidmatan internet bersama dengan program Pelan Jalinan Digital Negara (JENDELA)yang telah diumumkan oleh kerajaan pusat kepada negeri Sabah yang dilaksanakan bermula tahun ini sehingga penghujung 2022,” katanya lagi. – UMNO Online

Oleh: Nurul Saadah Latib

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.