Juruterbang Ada Tanam Anggur, Tanam Jagung… Jangan Pinggirkan Mereka – Zahid

KUALA LUMPUR, 22 Feb – Nasib juruterbang syarikat penerbangan tidak boleh diabaikan memandangkan golongan ini juga diantara yang terjejas akibat pandemik COVID-19.

Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, ini kerana seperti mana nasib kebanyakan anggota masyarakat lain golongan ini juga perlu dibela kerana mereka juga merupakan aset penting negara.

“Semalam saya dimaklumkan oleh seorang juruterbang bahawa terdapat lebih 1,000 juruterbang dalam negara, namun hanya 20 peratus daripada mereka masih bekerja.

“Kata beliau, selebihnya terpaksa ‘tanam anggur dan tanam jagung’ selepas diberhentikan, dipotong gaji atau diarah ambil cuti tanpa gaji.

“Itu belum termasuk pramugara dan pramugari serta kakitangan lain yang mungkin turut terjejas akibat pandemik COVID-19,” katanya menerusi satu hantaran di Facebook.

Beliau menambah ada dalam kalangan mereka kini yang mengambil pendekatan lain dengan mencari rezeki sebagai penjaja, pemandu lori, menjual ikan dan sebagainya.

Kata Zahid yang juga Pengerusi Barisan Nasional (BN) itu, nasib juruterbang ini makin tersepit apabila moratorium tambahan berakhir bulan lalu.

“Manakala duit simpanan yang mereka ada semakin berkurangan. Namun yang menjadi kemusykilan, nasib para juruterbang ini agak kurang diperkatakan oleh pihak berwajib tentang usaha-usaha untuk terus membantu mereka.

“Itu belum tentang graduan akademi penerbangan dan kadet yang perlu melunaskan hutang pengajian ratusan ribu ringgit,” katanya.

Sementara itu, Zahid juga turut memberikan pandangan beliau berkenaan pesawat yang tidak dapat diterbangkan disebabkan sekatan perjalanan akibat COVID-19.

“Semua kapal terbang yang ‘under-used’ perlu dihantar balik kepada ‘lessor’. Jika tidak semua kapal perlu diselenggara oleh jurutera untuk mengelakkan daripada karat, burung bersarang dan ‘wear and tear’ kerana lama tidak dipakai, tersadai tanpa diselenggara.

“Bimbang apabila kapal beroperasi semula nanti akan mendatangkan masalah teknikal,” ujarnya lagi. –UMNO Online

Oleh: Nurul Saadah Latib

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.